Johor catat pelaburan RM2.237 bilion untuk sektor pembuatan

Ting Han pada sesi penggulungan pada sidang Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Kota Iskandar pada Khamis.
Ting Han pada sesi penggulungan pada sidang Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Kota Iskandar pada Khamis.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Johor mencatatkan nilai keseluruhan pelaburan dalam sektor pembuatan sebanyak RM2.237 bilion bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Exco Pelaburan, Perdagangan dah Hal Ehwal Pengguna, Lee Ting Han berkata, nilai tersebut menunjukkan peningkatan 30 peratus berbanding nilai pelaburan sebanyak RM1.705 bilion dalam sektor pembuatan dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

Katanya, bagi sektor perkhidmatan pula sebanyak RM23 juta diterima pada suku pertama tahun ini berbanding RM39 juta bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.

"Johor telah berjaya mencatatkan jumlah nilai pelaburan yang baik dalam sektor pembuatan sebanyak RM6.784 bilion. Angka ini berkembang sebanyak 2.5 peratus kepada RM6.953 bilion pada tahun 2021.

"Statistik dikemukakan ini menunjukkan satu trend agak positif. Kerajaan negeri menggandakan lagi usaha untuk menarik pelaburan dengan memperkenalkan dasar mesra pelabur," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan pada sidang Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Kota Iskandar di sini pada Khamis.

Ting Han yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Paloh berkata, nilai pelaburan yang disasarkan di dalam Pelan Mampan Pembangunan Johor, antara RM10 bilion hingga RM15 bilion dapat dicapai pada tahun ini.

Katanya, pelbagai inisiatif sedang dilaksana dan dirancang kerajaan negeri bagi mengekalkan pelaburan sedia ada dan menarik pelabur baharu.

"Menerusi kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan Persekutuan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pihak swasta, kami yakin sasaran nilai pelaburan tersebut akan dapat dicapai.

"Kerajaan negeri melalui Invest Johor telah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama jabatan, agensi, pihak berkuasa tempatan (PBT), pemain-pemain industri dan organisasi-organisasi sektor pelaburan bagi jalinan usaha sama strategik.

"Setakat Jun tahun ini, sebanyak dua sesi libat urus melibatkan empat daerah telah pun berjaya dilaksanakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!