Polis Perak tempatkan 35 anggota polis pelancong di 20 lokasi
IPOH - Polis Perak menempatkan 35 anggota polis pelancong di 20 lokasi di lima daerah di negeri ini bagi menjaga keselamatan pengunjung di destinasi tumpuan pelancong.
Ketua Polis Negeri Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kesemua anggota polis pelancong itu ditugaskan di sekitar kawasan tumpuan pelancongan iaitu di Ipoh, Batu Gajah, Manjung, Taiping dan Kuala Kangsar.
"Jumlah anggota polis pelancong ini akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan. Kita tubuhkan unit polis pelancong ini untuk memberikan rasa lebih selamat kepada pelancong tempatan dan asing yang berkunjung ke negeri ini," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan unit polis pelancong Perak yang turut dihadiri Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi di sini, pada Khamis.
Sementara itu, Nolee Ashilin berkata, pelancaran unit tersebut merupakan satu usaha untuk menarik kedatangan pelancong berkunjung ke negeri ini.
"Keberadaan polis pelancong memberi gambaran positif di satu-satu kawasann pelancongan yang strategik.
"Kerajaan negeri juga akan menyediakan skuter elektrik kepada polis pelancong tidak lama dan sebagai permulaan kemudahan itu disediakan di sekitar Ipoh," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!