Penduduk desak selesai segera isu penyelenggaraan PPR Sri Aman

Bantahan aman penduduk PPR Sri Aman di Menara DBKL 1 pada Khamis. Gambar kecil: Mohamed Nawaz
Bantahan aman penduduk PPR Sri Aman di Menara DBKL 1 pada Khamis. Gambar kecil: Mohamed Nawaz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kira-kira 30 penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Aman Jinjang Kepong mengadakan protes di Menara DBKL 1 mendesak isu penyelenggaraan di kawasan perumahan mereka yang berlanjutan selama empat tahun diselesaikan segera.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) PPR Sri Aman, Mohamed Nawaz Koya berkata, penduduk mendesak agar satu pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dapat diaturkan bagi membincangkan isu berbangkit di empat blok PPR terbabit yang mula dihuni secara berperingkat sejak 2017 itu.

Menurutnya, hampir 400 penduduk menghadapi masalah kerosakan unit terutama kebocoran air 'water proofing' pada tandas di bilik utama hingga memberikan kesan kepada penghuni di tingkat bawah.

"Tiga blok sepatutnya diuruskan oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) namun sehingga kini JMB belum ditubuhkan menyebabkan penyelenggaraan masih di bawah DBKL.

"Banyak aduan telah dibuat namun sehingga kini banyak masalah timbul, ada rumah yang telah dibaiki dan ada lagi yang masih bermasalah," katanya sewaktu protes aman di Menara DBKL 1 pada Khamis.

Turut serta pada bantahan itu ialah Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran.

Mengulas lanjut, Mohamed Nawaz mendakwa Datuk Bandar ada turun ke lokasi pada tahun lalu bagaimanapun tiada pemeriksaan secara menyeluruh dilakukan di unit bermasalah.

"Sudah empat tahun kami buat aduan dan tunggu penyelesaian, jadi pada hari ini (Khamis) kami tidak mahu buat kecoh sebaliknya mahu ditetapkan tarikh pertemuan untuk bermesyuarat bersama menteri dan Datuk Bandar, persatuan penduduk, wakil serta YB Prabakaran bagi membincangkan masalah kami.

"Dalam mesyuarat itu, kami boleh luahkan masalah. Kami dah tunggu lama tapi sehingga kini tiada jawapan, jadi kami datang ke sini untuk dapatkan jawapan," jelasnya.

Sementara itu, Prabakaran berkata, hampir enam kali isu tersebut dibangkitkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan di Parlimen namun tidak mendapat maklum balas.

Katanya, aduan berterusan daripada penduduk menyebabkan beliau ada mengeluarkan peruntukan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) bagi memanggil kontraktor melakukan kerja baik pulih.

"Untuk saya keluar peruntukan ICU bagi baik pulih semua unit adalah mustahil kerana perlukan peruntukan yang tinggi.

"Kebanyakan kerosakan adalah melibatkan sistem dalaman yang perlu diganti keseluruhan, jika ia sekadar disahaja maka beberapa bulan selepas itu ia akan rosak semula," katanya.

Beliau berkata, masalah itu mampu diselesaikan jika semua pihak bersemuka dan berbincang bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu berbangkit di PPR terbabit.

Sinar Harian Difahamkan, satu pertemuan antara wakil penduduk bersama Datuk Bandar dijangka diadakan pada Jumaat ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!