LZS agih RM42 juta bantuan khas banjir

Syed Anwar (empat dari kiri) dan Mohd Sabirin (dua dari kiri) di Majlis Pelancaran Bulan Taksir Zakat LZS di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada Khamis.
Syed Anwar (empat dari kiri) dan Mohd Sabirin (dua dari kiri) di Majlis Pelancaran Bulan Taksir Zakat LZS di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan sejumlah RM42.15 juta bantuan khas banjir kepada mangsa-mangsa yang terlibat dalam bencana alam itu pada Disember lalu setakat bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, jumlah tersebut meliputi empat kategori bantuan membabitkan bantuan kecemasan atau bencana alam bernilai RM28.03 juta kepada 46,272 penerima manakala bantuan sumbangan baik pulih institusi pasca banjir pula berjumlah RM7.5 juta kepada 150 masjid dan surau yang terjejas akibat banjir tahun lalu.

Tambahnya, jumlah peruntukan bagi bantuan keperluan asas rumah bernilai RM4.18 juta pula memanfaatkan 2,417 penerima dan bantuan baik pulih rumah bernilai RM2.44 juta pula kepada 119 buah rumah.

"Bagaimanapun, bagi membina rumah baharu, jumlah yang disumbangkan oleh agensi lain ialah sebanyak RM3 juta yang diuruskan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

"Saya difahamkan dalam proses membina rumah baharu, ada sedikit kelewatan kerana masalah dokumentasi yang kurang lengkap seperti geran tanah bertindan dua hingga tiga nama.

"Tapi kita dah mulakan agihan sumbangan bantuan untuk baik pulih rumah (terkesan banjir)," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Bulan Taksir Zakat LZS di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada Khamis.

Pada majlis sama, Mohd Sabirin turut menyaksikan perasmian kempen Bulan Taksir Zakat (BTZ) yang disempurnakan oleh Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail.

Menurutnya, ia merupakan inisiatif untuk membudayakan taksiran zakat pada setiap bulan Jun sebagai amalan tahunan dalam kalangan masyarakat agar tanggungjawab zakat tidak dilupakan.

"Bagi menggalakkan orang ramai menyertai Bulan Taksir Zakat ini, mereka yang membuat taksiran zakat bermula 15 Jun 2022 sehingga 31 Julai 2022, melalui aplikasi Zakat Selangor atau layari jom zakatselangor.com.my boleh menebus baucar KFC di cawangan LZS yang berdekatan berserta bukti taksiran zakat.

"LZS juga ingin memperkenalkan perkhidmatan baharu iaitu Direct Debit sebagai kemudahan untuk membayar zakat yang dilakukan secara bulanan dengan potongan automatik dan hanya mendaftar dengan bank-bank berkenaan.

"Perkara ini akan memudahkan pengguna untuk menunaikan zakat yang mana mereka tidak perlu datang ke cawangan dan hanya perlu urusan melalui bank dan potongan ini dilaksanakan secara berterusan hingga ia ditamatkan oleh pemilik akaun tersebut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!