Polis tingkat kawalan keselamatan sepanjang Piala AFC 2022
KUALA LUMPUR - Polis akan meningkatkan kawalan keselamatan sepanjang penganjuran Perlawanan Kejohanan Piala AFC 2022 (Peringkat Kumpulan H) anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bertempat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur yang akan bermula pada 24 Jun ini.
Ketua Polis Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Idzam Jaafar berkata, pihaknya akan meningkatkan kawalan keselamatan di dalam dan luar stadium.
"Ini bagi memastikan keadaan keselamatan terjamin dan selamat serta mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
"Penugasan pihak polis melibatkan penugasan kawalan lalulintas dan keselamatan akan bermula pada 24 Jun pada jam 5 petang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya, sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan akan dilakukan sebelum pintu masuk dan juga selepas memasuki stadium.
"Petugas akan memeriksa badan mahupun beg yang dibawa penonton, penonton juga tidak dibenarkan membawa masuk barangan terlarang ke dalam stadium.
"Antaranya melibatkan mercun, bunga api, suar, topi keledar,laser, mancis, pemetik api, sebarang objek tajam seperti besi, kayu, senjata seperti parang, minuman keras, payung serta tongkat," katanya.
Menurutnya, polis juga akan memastikan kelancaran trafik dan keselamatan orang ramai yang menuju ke stadium, juga yang berada di sekitar lokasi perlawanan.
"Orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan pengangkutan awam ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, elakkan melalui jalan-jalan sekitar Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur jika tidak bertujuan menonton perlawanan bola sepak, patuhi arahan daripada anggota polis yang bertugas.
"Selain itu, pengguna jalan raya tidak dibenarkan sama sekali untuk meletakkan kenderaan di bahu jalan di sekitar laluan masuk dan keluar stadium, tindakan saman dan tunda akan diambil kepada kenderaan yang menghalang lalulintas," katanya.
Perlawanan Peringkat Kumpulan H ini melibatkan tiga buah kelab iaitu Kuala Lumpur City FC (Malaysia), PSM Makassar (Indonesia) dan Tampines Rovers (Singapura).
Perlawanan di antara Kuala Lumpur City FC menentang PSM Makassar dijadualkan pada 24 Jun 2022 (Jumaat) manakala perlawanan di antara Tampines Rovers menentang PSM Makassar pada 27 Jun 2022 (Isnin).
Kuala Lumpur City FC bakal menentang Tampines Rovers pada 30 Jun 2022 (Khamis) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur dengan kapasiti penonton seramai 14,000 orang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!