Pelapor Khas iktiraf peranan ASEAN, puji Malaysia
PUTRAJAYA - Pelapor Khas mengenai situasi hak asasi manusia di Myanmar, Thomas Andrew mengiktiraf peranan utama yang dimainkan ASEAN.
Kementerian Luar Negeri (KLN) menerusi kenyataannya memaklumkan, Thomas yang mengadakan lawatan ke Malaysia dari Jumaat hingga Khamis turut memuji kepimpinan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Malaysia di dalam usaha tersebut.
"Lawatan ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam mencari penyelesaian yang aman dan berkekalan kepada situasi di Myanmar termasuk krisis di Rakhine yang telah membawa kepada masalah pelarian terbesar di rantau ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya pada Khamis.
Menurut KLN, situasi di Myanmar adalah penting dalam menjamin keselamatan dan kestabilan ASEAN.
"Lawatan ke Malaysia bertujuan untuk memahami dengan lebih mendalam perspektif dan pendekatan Malaysia dan ASEAN mengenai situasi di Myanmar," katanya pada Khamis.
Dalam lawatannya, Thomas telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Saifuddin dan bertemu pegawai-pegawai kementerian.
"Pelapor Khas juga mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Hal Ehwal Antarabangsa dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Wanita, Hal Ehwal Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) serta masyarakat sivil," katanya.
Thomas dijangka membentangkan satu laporan lisan mengenai lawatannya ke Malaysia di Sesi ke-50 Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva pada 29 Jun ini.
"Pelapor Khas mengenai situasi hak asasi manusia di Myanmar yang dilantik oleh Majlis Hak Asasi Manusia adalah berkhidmat atas kapasiti peribadi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!