Optimis bawa dua perseorangan lelaki Hong Kong dalam 10 terbaik dunia

Tat Meng
Tat Meng
A
A
A

JURULATIH kelahiran Malaysia berpangkalan di Hong Kong, Wong Tat Meng optimis mampu membawa dua pemain perseorangan lelaki negara berkenaan, Ng Ka Long dan Lee Cheuk Yiu untuk berada dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia.

Tat Meng, yang pernah berkhidmat sebagai jurulatih perseorangan wanita negara di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagaimanapun berkata, perkara berkenaan bukanlah petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan negara berkenaan, sebaliknya sasaran peribadi ditetapkan dirinya.

Beliau yang ketika ini menggalas tanggungjawab jurulatih utama perseorangan lelaki, mempunyai lima pemain dalam jagaannya termasuk Ka Long dan Cheuk Yiu yang berpotensi berada sebaris dengan pemain badminton terbaik dunia pada masa kini.

"Saya rasa mereka (Ka Long, Cheuk Yiu) ada potensi yang bagus, kalau tidak saya juga tidak mahu datang sana (Hong Kong).

"Saya rasa boleh bantu mereka naik balik, kerana Ka Long sebelum ini adalah dalam kalangan 10 pemain terbaik sebelum ini, tetapi sekarang sudah ranking 13, manakala Cheuk Yiu (ranking ke-15) semakin meningkat dan saya harap dapat naikkan mereka dalam kalangan 10 terbaik," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bulan lepas, Tat Meng merupakan antara watak penting yang membawa skuad wanita Korea Selatan menjulang Piala Uber 2022 di Impact Arena, Thailand.

Korea Selatan menewaskan juara bertahan, China, 3-2, bagi merangkul Piala Uber buat kali kedua dalam sejarah sejak kali pertama memenanginya pada 2010.

Dalam pada itu, jurulatih berusia 55 tahun itu berkongsi beliau sebenarnya mendapat dua tawaran dari negara Asia tetapi akhirnya memilih untuk mengikat kontrak bersama Hong Kong sehingga 2024 kerana sesuai dengan suasana kehidupannya.

"Sebenarnya ada dua negara yang buat tawaran dan apabila saya bandingkan, saya rasa suasana di Hong Kong lebih sesuai dengan saya, persekitaran kehidupan lebih penting," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!