Perintah berkurung di perairan ESSZone lanjut hingga 7 Julai

Perintah dari jam 6 petang hingga 6 pagi itu melibatkan perairan Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. - Foto fail Bernama
Perintah dari jam 6 petang hingga 6 pagi itu melibatkan perairan Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. - Foto fail Bernama
A
A
A

LAHAD DATU - Perintah berkurung membabitkan perairan tujuh daerah di Zon Selamat Pantai Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir esok, dilanjutkan sehingga 9 Julai ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, perintah dari jam 6 petang hingga 6 pagi itu melibatkan perairan Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

"Penduduk yang tinggal di kawasan terlibat dikehendaki berada di rumah, manakala orang luar tidak dibenarkan memasuki (atau berada) di kawasan tersebut, dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, perintah berkurung itu diteruskan bagi memastikan kawasan perairan terlibat tidak diceroboh pengganas, sekali gus mengancam keselamatan penduduk termasuk penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan, serta pelancong asing yang melawat pulau peranginan.

"Maklumat mendapati, kumpulan yang menjalankan kegiatan penculikan untuk dapatkan tebusan dan kumpulan Abu Sayyaf, masih cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan penculikan serta lain-lain jenayah rentas sempadan,” katanya.

Idris berkata, perintah berkurung itu juga, akan memudahkan penguatkuasaan serta pemantauan terhadap pergerakan bot, dan menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada penduduk maritim, dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Dalam pada itu, katanya, semua Ketua Polis Daerah di ESSzone diberi kuasa mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak, bagi tujuan aktiviti perikanan atau keperluan mendesak lain untuk melalui kawasan perintah berkurung itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!