BN tekad bergerak solo bagi PRU15
SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) tekad untuk bergerak solo tanpa menjalinkan kerjasama dengan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Exco Puteri UMNO, Fadwah Anuwar berkata, gabungan di dalam kerajaan kini iaitu antara BN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Pas hanya bersifat sementara dan akan berpecah setelah Parlimen dibubarkan.
“Harus diingat, di dalam BN, khemah besar hanya BN. Muafakat Nasional (MN) merupakan satu persefahaman di antara Pas dan BN. Ia tidak dimeterai sebagai satu khemah besar menjelang PRU akan datang.
“Ini adalah sekadar kerajaan transisi sehingga habis tempoh atau dalam masa terdekat memandangkan kita boleh buat PRU. Hanya BN yang akan kita bawa dan kekal dalam PRU15.
Lambang dacing sahaja yang ada,” katanya dalam program Berani Bersemuka bertajuk Khemah Besar: Realiti atau Fantasi? yang disiarkan di platform Sinar Harian, pada Khamis.
Berani Semuka tersebut turut menampilkan Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd Aziz manakala Ahmad Fahmi Mohd Samsudin sebagai moderator.
Fadwah berkata, bagi membentuk satu khemah besar yang berkualiti, ia perlu mempunyai satu tali pengikat dan persefahaman yang jelas di antara parti dalaman.
“Saya ingin melihat, khemah besar bentuk apa yang ingin ditunjukkan oleh blok pembangkang menjelang PRU15. Adakah masih berkongsi kasih dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Muda? Kalau ini, ia bukan khemah besar. Ini 'rebranding' (penjenamaan semula) sahaja,” ujarnya.
Mengulas mengenai desakan PRU, beliau berkata, ia perlu dilakukan dengan segera memandangkan kerajaan kini berada di tahap tidak stabil.
“Ini bukan hanya suara presiden, tetapi suara akar umbi dan perwakilan yang mahu UMNO dan BN bergerak solo dan segerakan PRU kerana kami tahu, kestabilan tidak berlaku ketika ini.
“Politik perlu stabil untuk membawa kepada kestabilan ekonomi. Selagi kerajaan bergolak, rakyat dan ekonomi tidak stabil," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!