Jerman isytihar pelan kecemasan gas tahap 2
"Keadaan ini serius," kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Tindakan Iklim, Robert Habeck sambil menyifatkan pengurangan bekalan gas itu sebagai "serangan ekonomi", lapor Xinhua.
Walaupun kemudahan penyimpanan gas di Jerman berada pada tahap lebih optimum berbanding tahun sebelumnya, tahap penyimpanan yang diperlukan sebelum tibanya musim sejuk "sukar dicapai tanpa mengambil beberapa langkah tambahan,” kata Habeck.
Pada akhir Mac, Jerman mengumumkan peringkat pertama atau tahap amaran awal, sebagai sebahagian pelan kecemasan tiga peringkat.
Bagaimanapun, buat masa ini kerajaan masih belum menggunakan mekanisme pelarasan harga.
"Mekanisme ini mungkin diperlukan dalam situasi tertentu untuk mengelakkan masalah bekalan tenaga.
"Tetapi ia juga mempunyai kelemahan, itulah sebabnya kami mengusahakan konsep alternatif," kata Habeck.
Kadar inflasi di Jerman mencecah 7.9 peratus pada Mei, didorong kenaikan harga tenaga yang melambung tinggi, menurut angka rasmi.
Ia mencecah paras tertinggi sejak krisis minyak pertama berlaku ketika musim sejuk 1973-1974.
Menurut Habeck, kenaikan harga gas dijangka turut berlaku dan ini akan menjejaskan pengeluaran perindustrian serta menjadi beban utama kepada ramai pengguna.
Untuk mengurangkan kesan kenaikan harga tenaga ke atas pengguna dan syarikat, kerajaan Jerman telah mengambil beberapa langkah termasuk menaikkan elaun bebas cukai, elaun penumpang jarak jauh, diskaun pengangkutan awam dan pemotongan cukai bahan api.
"Kita kini berdepan krisis bekalan gas. Gas adalah komoditi yang terhad mulai sekarang," kata Habeck. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!