Bangladesh belasah Malayan Tigress, 6-0
Walaupun skuad Malayan Tigress itu mempunyai ranking dunia yang jauh lebih tinggi di tempat ke-85 dunia berbanding pasukan tuan rumah di kedudukan 146, aksi di Stadium Bir Sherestha Shaheed Shipahi Mostafa Kamal, Dhaka, Bangladesh itu jelas tidak berpihak kepada pasukan pelawat yang gagal memberi cabaran.
Bangladesh membuka jaringan seawal minit kesembilan menerusi Mossamat Akhi Khatun, sebelum Sabina Khatun menggandakan jaringan pada minit ke-25.
Mossamat Akhi sekali lagi menemui jaring pada minit ke-29, diikuti jaringan Mossamat Sirat Jahan pada minit ke-44 untuk selesa mendahului 4-0 menjelang penghujung separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, skuad negara terus dihukum dengan jaringan Monika Chakma pada minit ke-66 dan Srimoti Krishnarani pada minit ke-73.
Skuad Malayan Tigress kendalian Jacob Joseph sekali lagi akan bertemu Bangladesh pada Ahad (26 Jun) untuk melengkapkan siri persahabatan di Dhaka, sebagai persediaan ke Kejuaraan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) Wanita 2022 di Binan City, Manila, bermula 4 hingga 17 Julai ini.
Skuad berkenaan akan memulakan kempen AFF di Manila menentang Singapura pada 4 Julai, Indonesia (6 Julai); Filipina (8 Julai); Thailand (10 Julai) dan Australia (12 Julai) manakala aksi separuh akhir dijadualkan pada 15 Julai diikuti final pada 17 Julai ini. -- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!