Pantau kenaikan harga barang bantu kurang beban rakyat: Lam Thye

Lam Thye (tiga dari kiri) beramah mesra dengan penghuni semasa melawat Pusat Jagaan Warga Tua Selangor Relief Agency (SRA) di Kuala Selangor pada Jumaat.
Lam Thye (tiga dari kiri) beramah mesra dengan penghuni semasa melawat Pusat Jagaan Warga Tua Selangor Relief Agency (SRA) di Kuala Selangor pada Jumaat.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan digesa memantau secara menyeluruh isu harga barangan yang mengalami kenaikan mendadak bagi mengurangkan beban rakyat.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memikirkan dan membuat keputusan sewajarnya bagi menangani perkara itu secara lebih menyeluruh.

Menurutnya, meskipun kenaikan harga barangan merupakan isu global, namun kerajaan berperanan untuk mengurangkan beban dihadapi rakyat terutama dalam keadaan ekonomi dan pendapatan mereka tidak menentu.

"Boleh dikatakan apa yang dijual sama ada di pasar raya, pasar raya besar dan pasar basah atau di mana tempat pun, rakyat bercakap tentang kenaikan harga barangan ini.

"Kerajaan perlu bertindak segera dan tidak boleh membiarkan rakyat terus dibelenggu dengan isu kenaikan ini yang tiada kesudahan," katanya pada sidang akhbar selepas Program Jabatan Pertubuhan Pendaftaran Malaysia Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur ke Pusat Jagaan Warga Tua Selangor Relief Agency (SRA) di sini pada Jumaat.

Lam Thye berkata, pada masa ini rakyat tidak mempunyai pilihan memandangkan harga barangan sukar dikawal dan naik mendadak.

Katanya, keadaan itu trut menyebabkan rakyat tertekan dan sudah tentu mereka memerlukan bantuan kerajaan untuk mengimbangi kenaikan tersebut.

"Saya amat bersimpati dengan rakyat Malaysia hari ini terutama dalam kalangan kumpulan B40 dan M40 yang berdepan cabaran kenaikan harga barangan," katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!