Lebih 1,000 anggota, pegawai bomba bertugas hadapi banjir

Anggota bomba sedang menjalankan tugas di kawasan yang dilanda banjir sekitar Telok Gong, Klang pada Jumaat.
Anggota bomba sedang menjalankan tugas di kawasan yang dilanda banjir sekitar Telok Gong, Klang pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 1,360 anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor ditugaskan dalam kerja menyelamat melibatkan banjir di beberapa kawasan di negeri ini ekoran hujan yang tidak menentu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, kesiapsiagaan turut melibatkan pelbagai aset seperti jentera serta bot penyelamat.

"Jumlah keseluruhan anggota bomba di negeri ini seramai 1,700 anggota dan hanya 20 peratus yang dalam tempoh bercuti.

"Baki melibatkan 1,360 anggota lagi bertugas menghadapi segala kemungkinan berlaku ekoran hujan yang tidak menentu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, hujan lebat berterusan yang berlaku sejak semalam melibatkan banjir kilat di tiga kawasan di negeri ini.

Jelasnya, antara kawasan terlibat ialah Sepang melibatkan Kampung Ampar Tenang, Kampung Sri Tanjung dan Sungai Jenderam, bagi kawasan Kuala Selangor melibatkan Sasaran Jeram dan sekitar Kampung Sungai Buloh.

Bagi kawasan Kuala Langat pula melibatkan jalan menghala Pulau Carey, Jalan Punai, Kebun Baru, Jalan Pusara, Jalan Perepat dan Telok Panglima Garang, bagi kawasan Gombak melibatkan Kampung Sungai Ginching, Kampung Batu 10 dan Sungai Salak manakala Klang melibatkan kawasan bersebelahan Dewan Kemuning Utama.

Menurutnya, keseluruhan kawasan yang dinaiki air bagaimanapun telah surut.

"Pemantauan akan dijalankan dari semasa ke semasa dan kita akan melihat juga kepada perkembangan cuaca.

"Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dan sentiasa mendengar arahan pihak berkuasa sekiranya perlu kepada pemindahan dilakukan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!