Sesi dialog kukuhkan lagi hubungan ASEAN-India
Antara lain, adanya desakan yang berterusan supaya menyemak semula Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-India (AIFTA).
Menurut Pengerusi Bersama Majlis Perniagaan ASEAN India, Datuk Ramesh Kodammal, perjanjian perdagangan yang sudah berusia sedekad itu perlu distruktur semula dan diselarikan dengan keperluan dan permintaan semasa, terutama ketika negara di seluruh dunia memberi tumpuan kepada pemulihan dan peluang pasca pandemik.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang menyertai Mesyuarat Khas Menteri-menteri Luar ASEAN-India (SAIFMM) berkata, kedua-dua pihak sedang berusaha mengukuhkan hubungan dengan menambah baik proses perdagangan.
Saifuddin merujuk kepada Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) yang ditandatangani pada Ogos 2009 dan berkuat kuasa pada Januari 2010 tetapi kedua-dua pihak sedang membincangkan untuk menjadikan pakatan itu lebih relevan sejajar dengan perkembangan semasa perdagangan global.
Beliau turut mengagumi kejayaan India dalam sektor ekonomi digital, terutamanya keupayaan memupuk keusahawanan melalui pemodal teroka.
"Ini satu model yang mungkin kita boleh jadikan contoh di rantau ASEAN dan Malaysia,” katanya.
Sementara itu, media Malaysia turut diberi kesempatan menjadi sebahagian daripada 19 petugas media dari 10 negara ASEAN untuk melihat sepintas lalu apa yang ditawarkan India.
Antara lain, media berpeluang melawat Hyderabad, ibu kota dan bandar terbesar di Telangana, India, menjadi antara pusat Teknologi Maklumat (IT) global dengan evolusi Hab IT dikenali Cyberabad.
Selain menyaksikan pameran oleh Tata Consultancy Services, peneraju global dalam perkhidmatan IT media turut berkesempatan melawat Lembah Genome.
Ia merupakan hab bioteknologi tercanggih pertama di India yang menyediakan aktiviti penyelidikan, latihan, kerjasama dan pembuatan untuk syarikat bioteknologi.
Antaranya, Bharat Biotech, syarikat bioteknologi multinasional yang membangunkan vaksin Covid-19 asli India - COVAXIN dan T-Hub, perantara inovasi perkongsian awam-swasta dan inkubator perniagaan.
Lawatan itu merupakan sebahagian program pertukaran media antara ASEAN dan India anjuran Kementerian Hal Ehwal Luar (MEA) India di bawah Dana ASEAN-India.
Selain topik berkaitan ASEAN dan India, Menteri Hal Ehwal Luar India, Dr S Jaishankar berkata, India dan ASEAN juga boleh menyumbang kepada keseimbangan aturan global secara berterusan.
"Kita didorong oleh kelas pengguna yang semakin meningkat, permulaan ekosistem yang kukuh, ekonomi internet yang berkembang dan dividen demografi yang mantap.
"Dari perspektif India, ASEAN terletak di tengah-tengah Indo-Pasifik , secara geografi, budaya, dan strategik," katanya.
Menteri-menteri luar India dan ASEAN juga bersetuju untuk berusaha ke arah perkongsian strategik komprehensif yang "bermakna dan substantif" meskipun kedua-dua pihak sedang meneroka cara untuk menghindari implikasi dari krisis Ukraine terhadap perdagangan dan keselamatan serantau.
Perdagangan komoditi antara India dan rantau ASEAN mencecah AS$98.39 bilion dalam tempoh April 2021- Februari 2022.
Hubungan perdagangan utama India melibatkan Indonesia, Singapura, Malaysia, Vietnam dan Thailand.
Pelaburan Langsung Asing (FDI) dari ASEAN ke India bernilai AS$117.88 bilion antara 2000-2021, dan sebahagian besarnya menerusi pelaburan Singapura di India (AS$115 bilion).
Sementara pelaburan India ke ASEAN sejak April 2019 hingga Mac 2022 pula berjumlah AS$55.5 bilion, sebanyak AS$51.5 bilion membabitkan pelaburan di Singapura. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!