Sukarelawan belia pantau kenaikan harga barang

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bekerjasama dengan Majlis Belia Malaysia (MBM) menggerakkan sukarelawan untuk memantau eksploitasi kenaikan harga barangan di negara ini.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, KBS memaklumkan Bahagian Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) bersama MBM akan mengaktifkan sukarelawan belia di seluruh negara untuk melaksanakan inisiatif tersebut.

“Dengan kerjasama MBM, KBS mengambil langkah proaktif menggerakkan belia sebagai sukarelawan yang akan memainkan peranan di lapangan bagi memantau sebarang eksploitasi kenaikan atau lonjakan harga di pasaran.

“Ia seterusnya akan melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKTA 723).

“Ini adalah selaras dengan pengumuman terkini oleh kerajaan yang melibatkan pemberian subsidi ke atas beberapa makanan asas,” menurut kenyataan bersama oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.

Dalam kenyataan sama, KBS memaklumkan pihaknya yakin kerjasama strategik tersebut mampu untuk menggerakkan belia membantu kerajaan memastikan kepentingan pengguna adalah dilindungi dan terpelihara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!