Keputusan kes rasuah Bung Moktar, Zizie Izette 2 September ini
KUALA LUMPUR - Keputusan sama ada Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad dibebaskan daripada pertuduhan kes rasuah berjumlah RM2.8 juta atau dipanggil bela diri di Mahkamah Sesyen di sini akan diketahui 2 September depan.
Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan lisan daripada pasukan pendakwaan dan pembelaan.
Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sophian Zakaria dan Maziah Mohaide manakala Bung Moktar dan Zizie Izette oleh peguam, M Athimulan serta Datuk K Kumaraendran.
Semasa prosiding, pendakwaan berhujah, suapan wujud dalam pelbagai bentuk termasuk komisen atau wang pengenalan.
"Adalah menjadi suatu kesalahan penerimaan atau pemberian suapan itu diterima atau diperolehi secara rasuah atau dengan niat yang jahat, " katanya.
Bagaimanapun, Athimulan berhujah bahawa, tiada bukti menunjukkan Bung Moktar memperoleh untuk dirinya sendiri, suapan seperti mana pertuduhan.
Katanya, saksi pendakwaan ke-24 dan ke-25 iaitu ejen pelaburan, Madhi Abdul Hamid serta Norhaili Ahmad Mokhtar tidak pernah menyatakan bahawa mereka memberi suapan.
"Dua saksi utama itu juga tidak menyebut mengenai pemberian rasuah melalui Zizie Izette selain tiada bukti bahawa ia diberikan kepada anak guamnya," katanya.
Berhubung kelulusan pelaburan RM150 juta di Public Mutual, beliau berkata, tiada rekod menunjukkan, Bung Moktar telah melakukan apa-apa perbuatan di luar tugas rasminya sebagai Pengerusi.
Malah katanya, ia diakui sendiri oleh saksi pendakwaan ke-27 seorang pegawai penyiasat, bahawa kelulusan dibuat dengan prosedur yang betul.
Sementara itu, Kumaraendran berkata, pendakwaan gagal mengemukakan sebarang bukti bahawa Zizie Izette telah bersubahat dengan suaminya dalam apa cara sekalipun.
Perbicaraan kes itu bermula 2 Januari 2020 lalu dengan 30 saksi dipanggil antaranya bekas Pengurus Besar Pelaburan FELCRA, Adnan Yusof; Ahli Lembaga Pengarah (ALP) FELCRA, Dr Habibah Suleiman; dan dua perunding unit amanah Public Mutual Berhad, iaitu Norhaili Ahmad Mokhtar dan Madhi Abdul Hamid.
Pada 17 Mei, kes itu ditutup selepas saksi terakhir yang juga pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norsharil Saharom, 37, selesai memberikan keterangan.
Mengikut pertuduhan pindaan, Bung Moktar, 63, didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan, Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank Berhad cawangan Taman Melawati, di sini, antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015 serta 12.16 tengah hari, 19 Jun 2015.
Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada ejen pelaburan, Norhaili Ahmad Mokhtar bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada jam 12.28 tengah hari, 19 Jun 2015.
Zizie Izette, 44, juga mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pindaam, bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di lokasi, tarikh dan masa sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!