Penyerang Guinea-Bissau pertajam penyudah Sabah

Kim Swee berkata sesuatu kepada Embalo semasa sesi latihan pasukan Sabah FC. - Foto Sabah Football Club.
Kim Swee berkata sesuatu kepada Embalo semasa sesi latihan pasukan Sabah FC. - Foto Sabah Football Club.
A
A
A

SABAH FC melakukan perubahan pada jendela perpindahan pemain masa ini apabila mengikat penyerang kebangsaan Guinea-Bissau, Jose Embalo bagi menggantikan Neto Pessoa bagi memantapkan lagi jentera serangan.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, Pessoa penyerang dari Brazil itu, digantikan berikutan prestasinya sedikit menurun selepas mengalami kecederaan yang mengambil masa agak lama untuk pulih sepenuhnya.

Beliau berkata, walaupun Pessoa berjaya menjaringkan gol dalam kemenangan 2-1 dalam saingan Liga Super bertemu Sri Pahang FC pada 18 Jun, terdapat beberapa sudut lain yang perlu dinilai menyebabkan keputusan menukar penyerang import dibuat.

"Kita tidak mengatakan Neto begitu ketara prestasinya menurun, tetapi kita perlu memastikan semua pemain terutamanya pemain import, perlu berada pada tahap cukup baik untuk bermain bersama Sabah.

"Kita harus memikirkan apakah langkah seterusnya, jadi saya membuat keputusan untuk menukarkan Neto kepada Embalo," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Kim Swee berkata, Embalo sudah memulakan sesi latihan bersama Sabah dan beliau yakin pemain kelahiran Portugal itu, akan memberikan impak besar kepada pasukan khususnya di bahagian serangan The Rhinos.

Beliau berkata, Embalo mempunyai pengalaman beraksi dalam liga di Eropah, dan berharap memberikan kelebihan kepadanya untuk segera menyesuaikan diri dengan rentak permainan pasukan, selain keserasian bersama-sama rakan sepasukan.

"Kita perlu bagi sedikit masa kepada Embalo....perlawanan dengan Selangor FC (28 Jun), Embalo tidak akan diturunkan kerana baru tiba. Kita mempunyai beberapa hari lagi untuk memastikan Embalo berada pada tahap kecergasan baik, sebelum kita bersedia menurunkan Embalo dalam perlawanan dengan Selangor mahu pun Negeri Sembilan FC nanti," katanya.

Pemain berusia 29 tahun itu memperoleh satu penampilan antarabangsa mewakili Guinea-Bissau pada 23 Mac lepas dalam perlawanan persahabatan menentang Equatorial Guinea, menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-0 negara itu.

Embolo juga pernah mewakili beberapa kelab di Eropah antaranya SC Beira-Mar di Portugal dan FC Rapid Bucuresti di Romania.

Sementara itu, dalam sebuah perkongsian di media sosial, Sabah FC mengesahkan telah mendapatkan pemain sayap lincah Farhan Roslan dari Kelantan FC.

Pemain berasal dari Kedah berusia 25 tahun yang terkenal dengan jolokan 'Messi Kedah' itu telah memperoleh satu penampilan antarabangsa bersama skuad Harimau Malaya pada 2019. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!