Thailand mansuh pemakaian pelitup muka
BANGKOK - Kerajaan Thailand pada Khamis menarik balik peraturan mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka.
Langkah itu diambil berikutan situasi Covid-19 di negara itu bertambah baik dan kerajaan menarik balik peraturan pemakaian pelitup muka berkuat kuasa serta merta, memetik pengumuman yang diterbitkan dalam Warta Diraja.
"Pemakaian pelitup muka kini adalah secara sukarela," menurut pengumuman itu.
Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Awam menasihatkan orang ramai untuk memakai pelitup muka ketika berada di kawasan sesak atau di tempat yang tidak mempunyai sistem pengudaraan yang baik.
Thailand mula menguatkuasakan pemakaian pelitup muka di tempat awam termasuk di luar rumah, sejak pertengahan 2021 untuk mengekang penularan Covid-19.
Menurut pengumuman itu kumpulan rentan dan berisiko tinggi termasuk mereka berumur 60 tahun ke atas, wanita hamil, penghidap kanser, diabetes, penyakit kardiovaskular atau penyakit buah pinggang kronik adalah dinasihatkan untuk terus mengamalkan pemakaian pelitup muka.
Sementara itu, pusat hiburan termasuk pub, bar dan kedai makan dibenarkan beroperasi dan menjual minuman keras - sama ada sehingga tengah malam, pukul 1 pagi atau 2 pagi - dengan mematuhi peraturan ditetapkan.
Sebelum ini, pusat hiburan hanya boleh beroperasi dan menghidangkan minuman keras sehingga tengah malam.
Sepanjang 24 jam lalu, Thailand mencatatkan 2,313 kes baharu Covid-19 dan 16 kematian. Sehingga kini, Thailand merekodkan 4,509,541 kes dan 30,559 kematian. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!