'Bukan penamat era Mat Don...'

Liridon Krasniqi
Liridon Krasniqi
A
A
A

PEMAIN naturalisasi negara, Liridon Krasniqi memberi jaminan akan kembali bangkit lebih bertenaga bagi meraih semula tempat dalam skuad Harimau Malaya selepas ini.

Malah Krasniqi menyifatkan kegagalan meraih tempat dalam skuad kendalian Kim Pan-gon semasa kempen Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini bukan satu pengakhiran kariernya.

“Saya berjanji kepada anda semua bahawa saya akan kembali lebih kuat dan cuba melakukan segala-galanya untuk menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan. Ini bukan penamat era Mat Don.

“Saya tahu diri saya, saya tahu apa yang saya mampu lakukan. Saya suka Malaysia, saya sayang rakan sepasukan saya dan saya suka bermain untuk warna ini.

“Saya tidak pernah melihat banyak cinta dan mesej yang indah lebih daripada 20,000 mesej yang positif, ini memberikan begitu banyak harapan dan cinta untuk kembali lebih kuat selepas ini,” ujarnya di Instagram miliknya.

Pada masa sama pemain tengah berusia 30 tahun itu berkata, kecederaan ketika menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya menyaksikannya tidak dapat mempamerkan prestasi sebenar dalam meraih kepercayaan Pan-gon.

“Apabila jurulatih memberitahu saya tidak tersenarai dalam pasukan kali ini, saya terasa sebak dan sedih kerana bagi saya ini semua tentang kemenangan dan mencipta sejarah terutamanya untuk negara yang saya cintai dan saya sanggup mati untuknya.

“Saya berusaha setiap hari, namun ia tidak berkesan dengan semua kesakitan ini tiada siapa yang tahu mengenainya. Saya mengorbankan kesihatan saya untuk memberikan seluruh negara apa yang mereka harapkan, tetapi malangnya saya tidak dapat,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!