Piala AFC: KL City, PSM Makassar buntu di Cheras
KUALA Lumpur City FC (KL City) gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila sekadar terikat tanpa jaringan ketika berdepan kelab Indonesia, PSM Makassar dalam perlawanan Kumpulan H saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, pada Jumaat.
Skuad kendalian Bojan Hodak yang tampil dengan reputasi juara Piala Malaysia musim lalu ternyata menghadirkan situasi cemas kepada kelab Liga 1 Indonesia asuhan Bernardo Tavares tersebut.
Bagaimanapun, ketumpulan bahagian penyudah The Hawks ternyata menjadi penghalang kepada setiap percubaan diterjemahkan dalam bentuk jaringan ke atas juara Piala Indonesia 2019 berkenaan.
Keputusan itu menyaksikan KL City memimpin Kumpulan H dengan satu mata sambil diekori rapat PSM Makassar (satu mata) selepas mengharungi satu perlawanan.
Satu lagi kelab wakil Singapura, Tampines Rovers akan menyingkap saingan pada Isnin dengan melayan PSM Makassar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!