‘Hanya Zii Jia lebih tahu’

Laporan Sukan Sinar pada Jumaat. Gambar kecil: Roslin Hashim
Laporan Sukan Sinar pada Jumaat. Gambar kecil: Roslin Hashim
A
A
A

JAGUH perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia lebih mengetahui keperluannya dalam menentukan hala tuju kariernya setelah bergelar pemain profesional.

Itu pandangan bekas pemain negara, Roslin Hashim ketika mengulas keputusan Zii Jia menarik diri daripada menyertai Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang dijadualkan dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

“Zii Jia lebih tahu perkara yang dia perlukan dalam memantapkan perjalanan kariernya setelah bergelar pemain profesional selepas keluar daripada BAM (Persatuan Badminton Malaysia) sebelum ini.

“Sebenarnya bukan mudah untuk pemain profesional seperti Zii Jia mengambil keputusan sebegini tanpa melakukan kajian terperinci kerana banyak perkara memerlukan penilaian selepas bergerak solo berbanding ketika berada dalam BAM.

“Perkara berkaitan recovery (penyembuhan), penajaan, status kejuaraan, kedudukan ranking antara perkara yang memerlukan penilaian semula Zii Jia sebelum menyertai sebarang kejuaraan,” kata Roslin kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Sebelum ini, Zii Jia mengumumkan beliau tidak menyertai Sukan Komanwel Birmingham 2022 untuk memberikan tumpuan sepenuhnya bagi menghadapi Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun dari 22 hingga 28 Ogos ini.

“Kita kena faham Zii Jia baru saja selesai menghadapi Masters Indonesia dan Terbuka Indonesia di Jakarta.

“Kemudiannya dia akan beraksi pada Terbuka Malaysia dan Masters Malaysia yang juga back to back tournament.

“Selepas Masters Malaysia, tidak sampai lebih kurang seminggu lebih akan bermula pula Sukan Komanwel.

“Ini bermakna dia mempunyai masa seminggu sahaja untuk melakukan persediaan.

“Apabila dia melihat kepada jadual padat, itu menyebabkannya mengambil keputusan menarik diri.

“Ini bagi membolehkan dia mendapat tempoh rehat panjang dan melakukan persiapan rapi untuk Kejohanan Dunia.

“Pada Kejohanan Dunia ini, semua pemain berstatus bintang dari seluruh dunia akan turun beraksi berbanding dengan Sukan Komanwel yang tidak semua pemain akan mengambil bahagian,” jelas beliau.

Pada masa sama, Roslin menegaskan, tidak timbul isu patriotik atau sebaliknya berhubung dengan keputusan Zii Jia tidak mengambil bahagian pada Sukan Komanwel kali ini.

“Mengapa apabila Zii Jia menarik diri daripada Sukan Komanwel, ramai pihak akan goyang?

“Mana perginya pemain perseorangan lelaki negara lain? Kita memiliki ramai para pemain perseorangan yang mampu menggalas cabaran.

“Jika skuad badminton negara masih lagi bergantung harap kepada Zii Jia untuk meraih pingat atau sebarang kejuaraan, ini bermakna arena badminton masih lagi di takuk lama seperti semasa era Datuk Lee Chong Wei,” ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!