Ibu tunggal berputih mata akibat SMS palsu

Seorang ibu tunggal kehilangan wang simpanan dan terpaksa meminjam along gara-gara menerima SMS palsu awal tahun ini. (Gambar hiasan)
Seorang ibu tunggal kehilangan wang simpanan dan terpaksa meminjam along gara-gara menerima SMS palsu awal tahun ini. (Gambar hiasan)
A
A
A

KLANG - Bukan sahaja wang simpanan hilang malah terpaksa meminjam daripada along, luah seorang ibu tunggal setelah menjadi mangsa penipuan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) awal tahun ini.

Mei Ling (bukan nama sebenar) berkata, dirinya pada mulanya menerima SMS daripada satu nombor yang tidak dikenali memaklumkan dirinya memenangi wang tunai berjumlah RM5,000.

"Saya amat teruja ketika menerima SMS tersebut, kebetulan saya memang perlukan sedikit wang untuk guna dalam perniagaan minuman yang saya jalankan.

"SMS tersebut meminta saya agar memuat turun satu aplikasi, setelah muat turun saya kemudiannya mengisi segala maklumat peribadi termasuk nombor kad pengenalan, nombor akaun dan data peribadi lain," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pandamaran di sini pada Jumaat.

Menurutnya, setelah beberapa hari dia menerima SMS daripada bank yang menyatakan terdapat pengeluaran dilakukan.

"Ketika menerima SMS tersebut, saya amat terkejut kerana memang saya tidak melakukan sebarang pengeluaran sama ada menerusi dalam talian atau secara fizikal.

"Pada masa sama, saya langsung tidak menerima sebarang wang seperti SMS yang saya terima sebelum ini, malah wang saya berjumlah RM3,000 pula yang lesap," katanya.

Mei Ling berkata, dirinya yang kehabisan wang simpanan terpaksa meminjam daripada along untuk digunakan dalam perniagaan yang dijalankan.

"Perniagaan saya memerlukan tambahan sedikit modal pusingan, asalnya wang simpanan saya itu saya simpan untuk gunakan dalam perniagaan.

"Namun, gara-gara terlalu percayakan SMS yang menyatakan saya memenangi sejumlah wang sebanyak RM5,000, wang simpanan saya pula yang tiada dan terpaksa berhutang dengan along," katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam Klang, Datuk B K Tan berkata, pihaknya mengesan pelbagai bentuk penipuan menerusi SMS dan WhatsApp yang mengumpan pengguna.

"Taktik yang digunakan, sindiket akan menghantar pesanan kepada mangsa menyatakan mangsa memenangi sejumlah wang. Dalam masa sama mangsa diminta untuk memuat naik satu aplikasi.

"Aplikasi berkenaan memerlukan mangsa untuk mengisi segala butiran peribadi dan daripada situ sindiket akan menggunakannya bagi menggodam maklumat seperti akaun mangsa untuk mendapatkan wang," katanya.

Beliau berkata, perkara itu perlu ditangani segera bagi mengelakkan lebih ramai individu menjadi mangsa.

"Perlu ada kaedah untuk menangani perkara ini oleh pihak yang bertanggungjawab. Kita bimbang sekiranya tidak ditangani ramai lagi mangsa akan terpedaya.

"Mereka yang menjadi mangsa pula perlu segera melaporkannya kepada pihak polis, jangan berdiam diri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!