‘Amerika, senjata api berpisah tiada’
WASHINGTON - Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) memutuskan bahawa rakyat negara itu berhak membawa senjata api di tempat awam sebagai perlindungan susulan beberapa kes tembakan rambang di negara Uncle Sam itu.
Presiden Joe Biden mengecam keputusan itu dan menyifatkannya sebagai bercanggah dengan Perlembagaan.
Walaupun desakan yang semakin meningkat untuk mengehadkan senjata api selepas dua kejadian tembakan besar-besaran pada Mei mengejutkan negara itu, mahkamah berpihak kepada peguam bela yang mengatakan Perlembagaan AS menjamin hak untuk memiliki dan membawa senjata api.
Keputusan 6-3 itu membatalkan undang-undang berusia ratusan tahun di New York yang memerlukan seseorang itu membuktikan mereka mempunyai keperluan memiliki senjata api bagi tujuan mempertahankan diri.
Mahkamah mendapati bahawa undang-undang yang digubal pada 1913 itu melanggar hak seseorang untuk ‘menyimpan dan mengangkat senjata’ yang termaktub dalam Pindaan Kedua Perlembagaan AS.
Keputusan bersejarah itu adalah yang pertama oleh mahkamah dalam kes Pindaan Kedua Perlembagaan sejak satu dekad.
Keputusan yang ditulis oleh Hakim Clarence Thomas itu boleh menjejaskan sekatan hampir sama di negeri lain dan mengundang risiko kepada jenis sekatan senjata api negeri dan peringkat perbandaran lain di seluruh negara. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!