Peraturan kawal selia e-hailing tidak boleh guna cara lama

Madeline ketika menjadi panelis pada Wacana Sinar Edisi Ke-353 bertajuk E-Hailing: Harga Naik, Kenapa dan Ada Solusi Ke? di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada Jumaat.
Madeline ketika menjadi panelis pada Wacana Sinar Edisi Ke-353 bertajuk E-Hailing: Harga Naik, Kenapa dan Ada Solusi Ke? di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Peraturan kawal selia terhadap industri e-hailing perlu diinovasikan sesuai dengan kemajuan teknologi digital, kata penganalisis ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma.

Beliau berkata, kawalan keterlaluan terhadap industri e-hailing khususnya dalam aspek pengambilan pemandu dilihat hanya akan menjejaskan industri tersebut.

“Dunia begitu pantas berubah tetapi mentaliti yang mengurus atau buat dasar ini macam masih gunakan peraturan lama.

“Macam peperiksaan (pengambilan lesen PSV), kenapa tidak gunakan aplikasi bagi kebebasan untuk calon pilih masa yang dia nak jawab asalkan cukup enam jam (masa ditetapkan),” katanya ketika menjadi panelis pada Wacana Sinar Edisi Ke-353 bertajuk E-Hailing: Harga Naik, Kenapa dan Ada Solusi Ke?.

Hadir sama dalam wacana yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Jumaat ialah bekas Ketua Bahagian Polisi dan Perancangan, Kumpulan Operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Wan Agyl Wan Hassan dan wakil pemandu, Mohd Dzarikashpi Nor.

Mengulas lanjut, Madeline berkata, kewujudan terlampau banyak peraturan terhadap industri e-hailing dilihat membuka peluang kepada isu integriti dalam industri tersebut.

Sedangkan menurut beliau, operasi e-hailing dilihat telah mengamalkan ketelusan dalam penentuan harga dengan memaparkan maklumat kos perlu ditampung oleh pengguna sebelum mereka menggunakannya.

Mengulas mengenai isu kenaikan harga perkhidmatan tersebut, Madeline berkata, selain penetapan harga siling oleh kerajaan, langkah lain menangani masalah itu adalah dengan cara penyediaan insentif bagi menarik lebih ramai individu menjadi pemandu e-hailing.

Katanya, langkah itu dilihat secara langsung menyelesaikan tekanan kenaikan harga perkhidmatan itu yang berlaku akibat isu kekurangan penawaran pemandu.

“Sebab sekarang masalahnya terdapat kira-kira 30 peratus orang (pemandu e-hailing) dah tidak mahu lagi memandu atau ‘on off’ sebab tidak sanggup hadapi kesesakan di jalan raya yang teruk,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!