Dilema pemandu e-hailing
SHAH ALAM - Pemandu e-hailing berhadapan dengan dilema tersendiri ekoran isu kenaikan harga perkhidmatan yang membebankan pengguna.
Wakil pemandu, Mohd Dzarikashpi Nor mengakui ada pengguna yang sememangnya terbeban dengan masalah kenaikan harga itu meskipun kadangkala situasi itu memberikan kebaikan kepada pekerja e-hailing.
“Kalau pasal harga, akan ada dua situasi yang mana salah satunya adalah pemandu gembira waktu dia dapat (upah) tinggi, tetapi penumpang pula tidak suka. Namun ada juga waktu dia hanya dapat RM5.
“Tolak komisen tinggal RM4 sedangkan kena ambil penumpang tiga kilometer (km) dan makan masa mungkin mungkin 20 minit. Belum kira isu jalan sesak sebab kemalangan tidak dijangka. Jadi dalam situasi itu, mungkin ada penumpang kesian dan bagi tips.
“Tapi kadang-kadang disebabkan pemandu e-hailing popular dalam kalangan masyarakat, pemandu juga akan jumpa penumpang dalam kalangan ibu tunggal atau orang kurang upaya (OKU). Jadi kita pun tidak sampai hati sebab harga itu bukan kita tetapkan tapi sistem,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis pada Wacana Sinar Edisi Ke-353 bertajuk E-Hailing: Harga Naik, Kenapa dan Ada Solusi Ke? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Jumaat.
Hadir sama sebagai panelis ialah ialah bekas Ketua Bahagian Polisi dan Perancangan, Kumpulan Operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Wan Agyl Wan Hassan dan penganalisis ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma.
Mohd Dzarikashpi berkata, beliau berharap kerajaan dapat menyediakan satu peraturan yang dapat memastikan penawaran harga yang adil kepada semua pihak termasuk pengguna dan pemandu e-haling.
Beliau turut meminta kerajaan agar mencari kaedah yang sesuai bagi memudahkan orang ramai untuk bekerja sebagai pemandu dalam industri e-hailing.
“Kenapa saya perlu pergi kelas memandu duduk enam jam dan jawab soalan. Sedangkan orang yang ambil sarjana, Ijazah Doktor Falsafah (PhD) boleh sahaja dua tahun belajar dan ambil periksa dari rumah.
“Kita hanya nak fahamkan pemandu berkenaan perkhidmatan e-hailing ini. Perkara ini sangat mudah untuk diterangkan, kenapa perlu habiskan masa satu hari. Bukan saya cakap tidak perlu Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), tapi benda itu boleh dimudahkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!