Rooney tinggalkan Derby County
BEKAS penyerang Manchester United, Wayne Rooney meletak jawatan sebagai pengendali Derby County, kata kelab Liga Satu tersebut.
"Wayne Rooney hari ini telah memaklumkan Kelab Bola Sepak Derby County bahawa dia minta dilepaskan daripada tugasnya sebagai pengurus pasukan utama berkuat kuasa serta-merta," kata Derby dalam satu kenyataan.
Peletakan jawatan itu mengakhiri tempoh 17 bulan Rooney penuh gelora di Stadium Pride Park menyaksikan The Rams dipalit masalah kewangan dan diturunkan ke kejuaraan tahap ketiga.
Derby sebelum ini dikenakan dua pemotongan sebanyak 21 mata apabila diletakkan di bawah pentadbiran insolvensi berlesen (administration) dan melanggar peraturan kewangan musim lalu, yang menyaksikan kelab itu diturunkan pangkat dari Liga Kejuaraan.
Cadangan pengambilalihan Derby County oleh ahli perniagaan Amerika Syarikat, Chris Kirchner pada bulan ini tidak berjaya selepas dia gagal memenuhi tarikh akhir Liga Bola Sepak Inggeris untuk menyelesaikan pembelian itu.
Sementara itu, Rooney berkata," Hari ini saya bertemu dengan pentadbiran untuk memaklumkan keputusan bahawa sudah tiba masanya saya meninggalkan kelab.
"Ya, mereka cuba bersungguh-sungguh untuk mengubah keputusan saya, namun saya kekal dengan pendirian.
"Masa saya di Derby County ibarat perjalanan rollercoaster penuh emosi, mengharungi detik naik turun. Namun saya harus mengatakan bahawa saya menikmati semua cabaran itu."
Bekas kapten England yang bermain untuk sementara bersama Derby County sebelum menjadi pengendali The Rams pada Januari 2021, juga berharap kelab itu akan dipimpin seseorang yang bertenaga dan tidak terjejas dengan peristiwa yang berlaku sejak 18 bulan lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!