55,000 kesalahan pemilik benarkan pemandu tanpa lesen bawa kenderaan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

CHUKAI - [DIKEMASKINI] Sebanyak 55,000 kesalahan melibatkan pemilik kenderaan yang membenarkan pemandu tiada lesen membawa kenderaan mereka direkodkan di seluruh negara dari Januari hingga Mei tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya kesal dengan sikap ambil mudah sesetengah masyarakat yang berterusan melakukan kesalahan tersebut tanpa memikirkan risiko serta bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

"Menurut pemerhatian dan analisis terkini JPJ, tiada perubahan sikap dan tanggungjawab yang ketara dalam kalangan pemilik kenderaan tentang perkara itu dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.

"Ia boleh dilihat dengan jelas apabila direkodkan 347,300 pemilik kenderaaan didapati membenarkan individu tiada lesen membawa kenderaan mereka dari Januari 2019 hingga Mei tahun ini," katanya selepas meninjau Operasi Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Stesen Penguatkuasaan JPJ Kijal, malam Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum dan Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin.

Aedy Fadly berkata, kebanyakan kesalahan melibatkan ahli keluarga terutama ibu bapa yang membenarkan anak-anak termasuk di bawah umur memandu tanpa lesen dengan pelbagai alasan tidak munasabah.

Juesteru, pihaknya mengingatkan orang awam supaya mengambil serius perkara berkenaan kerana pemilik yang ingkar boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu denda tidak kurang RM300 dan maksimum RM3,000 atau dipenjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

"Selain itu JPJ juga boleh mengambil tindakan lebih tegas kepada pemilik kenderaan melalui tindakan penyitaan mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Zulkarnain berkata sebanyak 580 kenderaan diperiksa dalam operasi dijalankan bersama Jabatan Imigresen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 133 kenderaan telah diberi notis atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu dan lesen memandu tamat tempoh. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!