Piala AFC: Aidil yakin peluang Sang Kenari masih terbuka

Pemain KDA FC, Mahmoud Al-Mardi (dua kanan) diasak pemain Bali United FC pada aksi Kumpulan G Piala AFC 2022 di Stadium Kapten I Wayan Dipta di Gianyar, Bali pada Jumaat. - Foto KDA FC
Pemain KDA FC, Mahmoud Al-Mardi (dua kanan) diasak pemain Bali United FC pada aksi Kumpulan G Piala AFC 2022 di Stadium Kapten I Wayan Dipta di Gianyar, Bali pada Jumaat. - Foto KDA FC
A
A
A

TEWAS 2-0 kepada Bali United FC pada aksi pertama Kumpulan G, Piala AFC 2022 di Stadium Kapten I Wayan Dipta di Gianyar, Bali pada Jumaat bukan penamat buat pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam persaingan untuk lolos ke peringkat seterusnya.

Menurut Pengendali KDA FC, Aidil Sharin Sahak, mereka masih lagi mempunyai dua perlawanan yang perlu dihadapi bertemu pasukan Filipina, Kaya FC pada 27 Jun dan pasukan Kemboja, Visakha FC pada 30 Jun.

"Apabila kamu tewas pada aksi pertama kamu perlu bangkit pada aksi seterusnya dan perlawanan seterusnya kita perlu fokus kerana Kaya FC juga tewas pada aksi pertama mereka.

"Saya rasa peluang masih terbuka, kita juga perlu melihat saingan di kumpulan lain yang mana ada yang mendapat keputusan seri. Jadi peluang masih lagi terbuka dan pemain perlu percaya untuk bangkit pada aksi seterusnya," katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Aidil Sharin berkata, secara keseluruhan beliau melihat pemain menunjukkan kerja keras dalam pasukan termasuk pemain muda yang turut mendapat pendedahan berguna daripada perlawanan tersebut.

"Gol pada penghujung separuh masa pertama dan gol kedua pada penghujung separuh masa kedua juga disebabkan kita hilang tumpuan tetapi kita harap pemain belajar dari perlawanan ini," ujarnya.

Sementara itu, ketua pasukan KDA FC, Syazwan Zainon menyifatkan gol kedua Bali United FC menerusi tandukan Muhammad Rahmat pada minit ke-82 mematikan langkah untuk pasukannya bangkit mencari gol penyamaan selepas ketinggalan awal hasil jaringan sendiri Ronald Ngah pada minit ke-45.

Menurutnya, dia mengakui Sang Kenari bermula perlahan pada separuh masa pertama sehingga memberikan peluang kepada Bali United FC mengawal keseluruhan permainan.

"Namun kami bangkit bermula dengan baik pada separuh masa kedua kami cuba mencari gol tapi bila Bali United berjaya menjaringkan gol kedua sekali gus menyukarkan kami untuk bangkit," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!