Bar gaji pekerja asing tanpa permit digempur
KUALA LUMPUR - Kegiatan sebuah bar di Jalan Changkat, Bukit Bintang di sini yang menggajikan pekerja asing tanpa permit memakan diri apabila digempur polis, pada Jumaat.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, dalam serbuan pada jam 11 malam itu seramai lima warga asing termasuk seorang wanita membabitkan warga Bangladesh, Thailand dan Myanmar telah ditahan.
"Semakan mendapati pekerja asing ini tidak memiliki permit kerja yang sah selain kesalahan imigresen lain.
"Turut ditahan seorang lelaki tempatan merupakan penjaga premis," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata, kesemua tangkapan berusia 20 hingga 38 tahun telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Dalam pada itu, operasi terbabit turut memeriksa 14 individu terdiri daripada enam pekerja serta lapan pelanggan premis bagi proses dokumentasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!