Kenaikan elaun warden langkah jangka pendek: iGuru

Mohd Azizee
Mohd Azizee
A
A
A

SEREMBAN - Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menyifatkan langkah kerajaan menaikkan kadar elaun warden di sekolah berasrama di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai langkah jangka pendek setelah 25 tahun ia tidak disemak.

Presiden iGuru, Mohd Azizee Hasan berkata, pihaknya berpandangan ada aspek lain yang perlu diberi perhatian agar isu beban tugas warden dapat diselesaikan untuk jangka panjang.

"Antara perkara yang perlu diberi perhatian KPM ialah mengurangkan beban tugas guru warden dengan mewujudkan guru warden seperti guru pusat sumber dan tidak dibebankan dengan bebanan akademik yang berat.

"Selain itu, KPM juga perlu mengkaji nisbah warden dengan murid iaitu dengan mengecilkan nisbah warden sedia ada dari 1:50 murid kepada 1 warden: 40 murid," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berharap langkah itu dapat meningkatkan kualiti kerja guru warden dan meringankan beban yang ditanggung mereka.

"Satu hakikat yang perit ialah guru warden berdepan dan terdedah dengan tindakan saman ibu bapa jika berlaku sesuatu di asrama.

"Justeru, KPM juga perlu memastikan kebajikan guru warden terbela dan terjaga bukan sahaja dari segi imbuhan material semata-mata tetapi juga dari sudut perundangan dengan menggubal akta keguruan yang dapat menjamin nasib para guru," katanya.

Bagaimanapun, jelasnya, iGuru mengucapkan terima kasih dan merakamkan penghargaan atas keprihatinan pihak KPM serta menyambut baik langkah kenaikan elaun daripada RM60 kepada RM300.

"Kenaikan ini diharapkan dapat memberikan suntikan dan motivasi kepada para warden untuk bekerja dengan lebih gigih serta berdedikasi. Ia juga sebagai tanda pihak KPM mendengar suara akar umbi kesatuan-kesatuan guru," katanya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan kadar elaun warden di sekolah berasrama bawah KPM akan dinaikkan sebanyak 25 peratus mulai 1 Ogos depan, selepas kali terakhir ia disemak pada 1997.

Dengan kenaikan itu nanti, kadar baharu elaun ketua warden ialah RM350 sebulan manakala warden pula RM300.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!