Panjangkan landasan Lapangan Terbang Pangkor perlu kajian dalam
LENGGONG - Satu kajian terperinci perlu dijalankan bagi memanjangkan landasan Lapangan Terbang Pangkor dalam usaha menarik kemasukan pelancong ke Pulau Pangkor, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata, kajian itu dengan kerjasama Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan Kementerian Pengangkutan (MOF) perlu, kerana ia membabitkan kewangan bagi melaksanakan projek tersebut.
"Lapangan Terbang Pangkor adalah lapangan terbang agak lama dan landasannya pendek dan tidak sesuai untuk kapal terbang besar mendarat.
"Jika nak dipanjangkan landasan ia terkena bukit dan perlu dipanjangkan melalui laut dengan membuat penanaman cerucuk dan memerlukan kos yang tinggi, bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan dan melancarkan Kejohanan 'Rogaining' 24jam kali ke-5 Edisi Lenggong di Kampung Luat dekat sini, pada Sabtu.
Seramai 300 peserta dari dalam dan luar negara termasuk Singapura, Brunei dan Indonesia menyertai program tiga hari bermula hari ini hingga 26 Jun, membabitkan larian sejauh 150 kilometer.
Pada Januari, Saarani berkata, Lapangan Terbang Pangkor mula beroperasi semula pada awal tahun ini, selepas lapan tahun tidak digunakan.
Sebelum ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, Malaysia Airports Berhad (MAHB) sudah memaklumkan kepada kerajaan negeri, cadangan untuk memanjangkan landasan Lapangan Terbang Pangkor daripada 732 meter sekarang kepada 1.5 kilometer, agar pesawat lebih besar yang boleh membawa sehingga 70 penumpang, dapat mendarat di situ.
Saarani yang juga ADUN Kota Tampan berkata, penggunaan kapal terbang untuk ke Pulau Pangkor juga bergantung kepada kemampuan kewangan pelancong, kerana ada pelancong suka menggunakan laluan darat untuk ke Pangkor.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Saarani berkata kalendar pelancongan boleh disusun semula bagi menyenaraikan program yang boleh menarik pelancong dalam dan luar negeri untuk datang ke Lenggong.
Penyusunan itu perlu diselaraskan dengan Tourism Perak, bagi membolehkan penduduk tempatan mengetahui dan membuat persiapan mengenai tempat penginapan dan kedai makanan, yang boleh meningkatkan ekonomi mereka sekaligus menarik pelancong ke sini," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!