Tiada kenaikan tarif elektrik, air: Pengguna tarik nafas lega
KUALA LUMPUR - Pengumuman kerajaan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung memberikan kelegaan kepada pengguna domestik yang secara tidak langsung membantu meringankan kos sara hidup mereka.
Dalam mendepani suasana ekonomi mencabar sejak kebelakangan ini, rata-rata masyarakat menzahirkan kesyukuran dan penghargaan kepada kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengutamakan kebajikan rakyat.
Selain mengucapkan terima kasih kepada kerajaan, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan turut meminta orang ramai supaya mengambil langkah bijak dan berjimat cermat dalam menggunakan elektrik meskipun kerajaan tidak menaikkan tarif ketika ini.
"Terima kasih kepada kerajaan tetapi kita juga ingin mengingatkan orang ramai supaya mengurangkan penggunaan elektrik dan mendidik mereka mengelak pembaziran elektrik mahupun air," katanya ketika dihubungi Bernama, pada Sabtu.
Pada Jumaat, Ismail Sabri mengumumkan kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung dengan terus komited menampung subsidi sebanyak RM5.8 bilion, meskipun berlaku peningkatan mendadak kos bahan api dan kos penjanaan lain.
Di Perak, Ahli Gerakan Pengguna Negeri Perak Khairul Anwar El Syazalli Musa berkata pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Suruhanjaya Tenaga kerana langkah itu mampu memberi impak yang besar.
"Ia dapat meringankan beban perbelanjaan bulanan isi rumah dari segi kos elektrik dan air berikutan penggunaannya yang tinggi termasuk ramai yang bekerja dari rumah pada masa ini yang bergantung kepada pelbagai gajet untuk berniaga seperti telefon dan komputer," katanya.
Presiden Persatuan Pengguna Perak Abd Rahman Said Ali berkata langkah itu perlu diiringi dengan penambahan pendapatan dalam kalangan rakyat bagi menangani kos sara hidup yang tinggi.
Di Kedah, seorang peniaga kek dan biskut, Shahni Farhana Mat Sahir, 36, berkata pengumuman itu semestinya melegakannya dan peniaga kecil lain.
"Saya lega kerana buat kek dan biskut menggunakan elektrik dan air yang banyak. Sekiranya tarif naik, pasti kami (peniaga) rasa terbeban ditambah pula dengan harga barang mentah yang semakin mahal," katanya.
Di Selangor, seorang penjawat awam, Nurul Hazwani Muhd Redzuan, 28, menyifatkan pengumuman itu sebagai berita baik daripada kerajaan.
"Apabila Perdana Menteri mengumumkan tiada kenaikan itu, maknanya segala khabar angin berhubung kenaikan tarif air dan eletrik terlerai," katanya.
Di Terengganu, seorang pengusaha inap desa, Haniza Kassim, 46, berkata susulan tiada kenaikan tarif itu, beliau dapat menyediakan kemudahan selesa kepada pelanggan tanpa mengenakan caj tambahan.
"Saya tak dapat bayangkan sekiranya tarif elektrik dan air naik, terpaksalah saya menaikkan kadar caj penginapan kepada pelancong yang datang untuk mengelak kerugian," katanya yang memiliki tiga rumah teres yang dijadikan inap desa.
Di Perlis, seorang pengusaha ikan pekasam, Annuar Sualaiman, 45, memuji tindakan kerajaan yang prihatin dengan masalah rakyat ketika berlaku peningkatan harga barang mentah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!