Perincian pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam diumum Julai
KUALA LANGAT - Keputusan mengenai perincian pelaksanaan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA), yang turut melibatkan Stadium Malawati akan dimaklumkan pada Julai depan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, satu jawatankuasa khas yang ditubuhkan pihaknya telah pun mengambil tindakan berhubung pembinaan kompleks dan baik pulih stadium tersebut yang meliputi pelbagai aspek, selain akan dijalankan seiring dengan projek pembinaan Aliran Transit Ringan 3 (LRT3) yang dijangka siap pada 2026.
Menurutnya, jawatankuasa khas pembinaan stadium itu sebelum ini turut menerima cadangan daripada pelbagai pihak termasuk pakar dari pelbagai universiti melibatkan pelbagai sudut termasuk proses pembaikan, naik taraf dan buat baharu.
"Saya tidak mahu memberitahu awal, namun begitu keputusannya sudah ada dan memerlukan untuk melihat keseluruhan bangunan kompleks itu kerana melibatkan ratusan juta ringgit," katanya pada sidang media ketika Siri Kedua Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, penilaian untuk kerja pembaikian dan pembangunan KSSA secara menyeluruh memerlukan tempoh sehingga lapan bulan untuk dilaksanakan.
Ujarnya, kerja baik pulih tersebut juga tidak melibatkan kerajaan Persekutuan sebaliknya merupakan kerjasama antara pihak awam dan swasta, serta bukan sepenuhnya dibiaya oleh kerajaan.
"Kalau kita ambil keputusan untuk baiki sahaja, sejak tahun lepas lagi kita sudah boleh mulakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!