Pemain ikut perancangan ditetapkan: Mora
KETUA Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) FC, Benjamin Mora memuji barisan pemainnya yang berjaya membelasah Selangor FC 5-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, meskipun setelah hampir sebulan berehat daripada beraksi di saingan tersebut.
Menurut Mora, antara sebab skuadnya berjaya meraih kemenangan besar ke atas pasukan gergasi merah itu adalah kerana mereka mengikuti segala perancangan yang ditetapkan termasuklah cuba meraih gol awal pada perlawanan itu.
“Kita berjaya meraih kemenangan ini kerana semua pemain mengikut pelan yang ditetapkan sebelum ini. Kita tahu kemahuan Selangor untuk meraih gol awal namun kita cuba mengambil peluang tersebut.
“Saya selalu menyatakan kepada pemain jika anda tidak mengharapkan kemenangan, anda tidak akan menang.
"Anda tidak mengharapkan membuat jaringan, anda tidak akan membuat jaringan,” jelasnya pada sidang media selepas perlawanan.
Pada perlawanan tersebut Harimau Selatan bermula garang apabila terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi pemain import, Bergson Da Silva seawal minit ketiga diikuti Fernando Forestieri pada minit ke-24, sebelum lencongan Leandro Velazquez menewaskan penjaga gol, Khairulazhan Khalid memastikan tuan rumah menuju ke bilik persalinan dengan kedudukan selesa 3-0 pada babak pertama.
The Red Giants yang cuba kembali bangkit pada babak kedua ternyata gagal menyaingi apabila sekali lagi dihukum menerusi jaringan Bergson.
Bagaimanapun, anak buah Michael Feichtenbeiner berjaya mendapatkan gol saguhati pada minit akhir perlawanan menerusi Mohd Nor Hakim Hassan berjaya menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias pada minit ke-82.
Dalam pada itu, Feichtenbeiner mengakui pasukannya kurang bernasib baik sambil memberitahu dua gol awal Harimau Selatan memberi kesan kepada moral pemain Selangor.
Malah beliau turut mengakui berasa kecewa kerana para pemainnya gagal mempamerkan aksi diarahkannya serta menegaskan kelonggaran tersebut dihukum pasukan lawan dengan kemenangan besar 5-1.
“Kita sangat mahukan untuk kemenangan meskipun menjangkakan perlawanan ini agak sukar.
'Moral pemain juga jatuh selepas ketinggalan 0-2 dan malam ini bukanlah persembahan terbaik kami
“Saya sangat kecewa, sepatutnya Selangor memberi tekanan tetapi lain pula yang jadi pada malam ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!