Kerajaan tidak buat pusingan U harga ayam: PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob singgah di gerai pameran semasa menghadiri Karnival Jom Heboh dan Hari Rekreasi Putrajaya di Anjung Floria Putrajaya pada Sabtu. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob singgah di gerai pameran semasa menghadiri Karnival Jom Heboh dan Hari Rekreasi Putrajaya di Anjung Floria Putrajaya pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A
PUTRAJAYA - Kerajaan tidak membuat pusingan U berhubung pengumuman tidak akan mengapungkan harga ayam di pasaran, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, keputusan dibuat berdasarkan pandangan pihak berkepentingan terutamanya seluruh Keluarga Malaysia.

"Keputusan (tidak diapungkan harga ayam) dibuat setelah mendengar pandangan rakyat. Keputusan ini beri kebaikan kepada rakyat, bukan pusingan U. Kita buat untuk kebaikan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Hari Rekreasi Putrajaya (HRP) 2022 dan Karnival Jom Heboh Putrajaya di Anjung Floria di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan parti pembangkang bahawa keputusan tersebut bersifat pusingan U.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan harga ayam tidak akan diapungkan dan harga siling baharu akan diumumkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam masa terdekat.

Dilaporkan, MAFI akan mengadakan satu mesyuarat khas bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta pemain industri penternakan ayam bagi membincangkan isu berkaitan bekalan dan harga siling baharu ayam di pasaran, pada Sabtu.

Mengenai program HRP 2022, Ismail Sabri berkata, ia merupakan perhimpunan keluarga yang besar selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan pada Oktober tahun lepas.

"Saya pun teruja ketika sampai, mungkin kerana saya lihat orang begitu ramai bukan sahaja sekitar Kuala Lumpur tetapi juga ada dari Negeri Sembilan, Perak dan Pahang," katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri meluangkan masa lebih sejam meninjau beberapa gerai pameran, berswafoto serta beramah mesra dengan pengunjung.

Antara gerai pameran dilawati adalah Kelab Kucing Malaysia, Didik TV, Studio A Jom Heboh, Media Prima, Aspirasi Keluarga Malaysia dan Putrajaya Floria.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Fadlun Mak Ujud.

Lebih 70,000 pengunjung hadir memeriahkan HRP 2022 dan Karnival Jom Heboh Putrajaya setakat 5 petang tadi. HRP 2022 julung kali diadakan bertujuan mempromosi Putrajaya sebagai Bandar Rekreasi yang mempunyai pelbagai produk pelancongan antaranya Pantai Floria, sisir tasik, laluan basikal dan nurseri tanaman. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!