Biar industri tentukan aturan kerja fleksibel: MEF
KUALA LUMPUR - Aturan Kerja Fleksibel (AKF) tidak sewajarnya ditentukan kepada perniagaan, sebaliknya, industri perlu membuat penetapan berdasarkan keperluan perniagaan mereka, demikian menurut Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).
Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, ini disebabkan perniagaan adalah berbeza-beza di antara satu industri dengan sektor yang lain seperti pembuatan, perbankan, pelancongan dan hotel, perdagangan runcit, pembinaan, perladangan dan banyak lagi.
Beliau berkata, setiap perniagaan adalah berlainan dan mempunyai struktur dan keperluan pengeluaran yang unik. Sebahagiannya berasaskan tempatan, manakala sebahagiannya lagi berasaskan antarabangsa dan ditentukan oleh peraturan dan pengawalan.
"Sehubungan itu, seseorang mesti memahami perkara ini sebelum memohon perubahan kepada sistem kerja sedia ada. Harus diakui bahawa tidak semua perniagaan berubah dan tidak semua proses boleh diubah.
"Keputusan yang muktamad benar-benar bergantung kepada industri dan keadaan perniagaan tertentu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, MEF sedia maklum bahawa, banyak organisasi yang mengguna pakai sistem bekerja baharu, selaras dengan fasa peralihan ke endemik di negara ini berkuat kuasa 1 April, 2022.
Organisasi yang berupaya mempertimbangkan pengalaman bekerja dari rumah (BDR) ketika pandemik akan menerima manfaat dari segi produktiviti perniagaan, dan syarikat yang mampan terus memikirkan strategi untuk menarik dan mengekalkan pekerja.
Dalam satu tinjauan yang dijalankan oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Malaysia dan TalentCorp, sebanyak 92 peratus pekerja berminat dengan aturan BDR yang tetap. AKF boleh meningkatkan kualiti hidup dan produktiviti pekerja sekiranya dilaksanakan dengan lancar.
Sementara itu, Syed Hussain berkata, antara cabaran melaksanakan AKF adalah kekurangan komitmen daripada pihak pengurusan atasan dan kurangnya libat urus dalam kalangan pekerja yang antaranya boleh menyebabkan produktiviti yang lebih rendah.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat menyokong organisasi untuk mengamalkan dan mengekalkan AKF dengan menyediakan panduan yang jelas mengenai hak dan obligasi organisasi seperti panduan mengenai proses permohonan, menolak dan membuat rayuan berhubung AKF.
Selain itu, antara lain, fleksibiliti dan kelonggaran perlu diberikan kepada beberapa peraturan yang mungkin menjejaskan keupayaannya untuk melaksanakan kategori AKF tertentu.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata, pekerja di negara ini yang ingin bekerja secara fleksibel boleh membuat permohonan AKF kepada majikan masing-masing di bawah pindaan Akta Kerja 1955 yang akan mula dikuatkuasakan pada 1 Sept depan.
Awang berkata, permohonan AKF perlu dibuat secara bertulis dan boleh meliputi perubahan waktu bekerja, hari bekerja dan tempat bekerja.
Untuk maklumat lanjut, hubungi sekretariat MEF sama ada melalui talian 03-79557778, faks 03-79559008 atau emel, mef-hq@mef.org.my. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!