Semangat baharu arena kriket negara
PENCAPAIAN skuad kriket negara mara ke pusingan akhir Piala Asia yang dijadualkan berlangsung pada Oktober depan merupakan satu pencapaian boleh dibanggakan selepas mengharungi saingan getir Kejuaraan Kriket Wanita ACC (Majlis Kriket Asia) T20.
Menurut kapten skuad negara, Winifred Duraisingam, pencapaian dilakar bersama-sama rakan sepasukan apabila mara kejuaraan berprestij benua Asia tersebut merupakan pengalaman mengujakan walaupun terkilan tidak berjaya menjadi juara kejuaraan kali ini.
“Sejujurnya kami sepatutnya boleh memenangi perlawanan hari ini tetapi nasib tidak menyebelahi kami, namun kami gembira apabila pasukan ini mara ke pentas Piala Asia.
“Komitmen 200 peratus dalam kalangan pemain sepanjang kejuaraan ini selain sokongan padu jurulatih, pasukan sokongan dan Persatuan Kriket Malaysia ternyata berjaya menghasilkan keputusan yang boleh dibanggakan dalam kalangan komuniti kriket tanah air,” katanya.
Skuad negara sebelum itu melabuh kempen Kejuaraan Kriket Wanita ACC (Majlis Kriket Asia) T20 di Oval Kinrara, pada Sabtu dengan status naib juara apabila tewas kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan kelebihan lima wiket.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!