Tiga beranak dikhuatiri lemas, kereta terjunam dalam sungai

Bumper kereta mangsa yang ditemui berhampiran sungai di jambatan Pantai Cicar, Kuala Ketil, Baling pada Sabtu. (Gambar kecil: Masyitoh (dua dari kanan) bersama dua anaknya iaitu Mohd Ziyad Zikri (dua kiri) dan Mohd Ziyad Haziq (kanan))
Bumper kereta mangsa yang ditemui berhampiran sungai di jambatan Pantai Cicar, Kuala Ketil, Baling pada Sabtu. (Gambar kecil: Masyitoh (dua dari kanan) bersama dua anaknya iaitu Mohd Ziyad Zikri (dua kiri) dan Mohd Ziyad Haziq (kanan))
A
A
A

BALING - [DIKEMAS KINI] Seorang guru dan dua anak lelakinya dikhuatiri lemas selepas kenderaan dinaiki mereka dikatakan terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai di jambatan Pantai Cicar, Kuala Ketil, di sini pada Sabtu.

Mangsa dikenali Masyitoh Ibrahim, 37, yang bertugas sebagai guru agama di Sekolah Kebangsaan Kampung Selarong, bersama dua anaknya, Mohd Ziyad Zikri, 7, dan Mohd Ziyad Haziq Sharudin, 5, dari Kampung Pantai Cicar di sini disyaki terjatuh ke dalam sungai kira-kira jam 6.42 petang.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mangsa yang memandu kenderaan jenis Proton Persona dikatakan terbabas ketika melalui Jambatan Datuk Syed Omar yang merupakan sempadan daerah Kuala Muda dan Baling.

"Operasi mencari dan menyelamat dilakukan membabitkan pelbagai agensi antaranya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan pasukan bomba sukarela.

"Satu bot penyelamat dengan kekuatan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya sedang cuba mengesan mangsa di dalam sungai dengan menggunakan teknik grappling iron.

"Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari masa ke masa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron berkata, anggota penyelamat membuat kerja-kerja pencarian di permukaan, namun belum dapat mengesan kedudukan kenderaan tersebut berikutan aliran sungai yang deras.

Katanya, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut bersama dua bot aluminium dari BBP Baling dan BBP Tikam Batu digerakkan ke lokasi kejadian

"Pasukan penyelamat juga mendapatkan bantuan bot penduduk kampung untuk menyusuri sungai bagi mencari dan menyelamat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!