Djokovic mungkin tidak beraksi di Terbuka AS

Novak Djokovic
Novak Djokovic
A
A
A

BEKAS pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic mengesahkan dia berkemungkinan besar tidak menyertai Terbuka Amerika Syarikat selepas pemain pilihan kejohanan Wimbledon itu masih kekal dengan pendirian enggan untuk mengambil vaksin Covid-19.

Bagaimanapun, di sebalik kekecewaan bahawa dia mungkin akan terlepas satu lagi kejohanan Grand Slam tahun ini, pemain berusia 35 tahun itu mengakui situasi tersebut membuatkan dia lebih bermotivasi untuk memenangi Wimbledon buat kali ketujuh, yang akan membawanya setanding dengan legenda Amerika Syarikat, Pete Sampras.

“Setakat ini, saya masih belum dibenarkan untuk memasuki Amerika atas sebab-sebab tertentu. Dan ia sudah tentu beri saya motivasi untuk bertanding di kejohanan ini (Wimbledon).

“Saya berharap dapat bermain dengan baik seperti yang dilakukan dalam tiga edisi sebelum ini. Selepas itu baru saya lihat apa yang perlu dibuat selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, Djokovic melahirkan rasa kecewanya apabila pihak penganjur kejohanan tidak membenarkan atlet daripada Belarus dan Rusia beraksi di Wimbledon.

“Saya tidak melihat pemain-pemain ada memainkan peranan dalam krisis yang berlaku ketika ini. Ia seolah tidak adil apabila tidak membenarkan mereka bermain di kejohanan ini.

“Pemain-pemain ini perlu diberi peluang untuk bertanding dan memenangi sesuatu kejohanan kerana mereka atlet profesional. Saya rasa tiada di antara mereka yang menyokong perang atau perkara lain yang sama dengannya,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!