284 individu merokok di kedai makan dikompaun
KUALA LUMPUR - Sebanyak 284 notis kesalahan membabitkan nilai kompaun RM71,000 dikeluarkan kepada individu yang dikesan merokok di premis makanan dalam operasi bersepadu di sekitar ibu kota pada Sabtu.
Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Norhayati Rusli berkata, sebanyak 263 premis makanan yang menjual rokok diperiksa sepanjang operasi di sekitar Chow Kit dan Kampung Baru pada jam 6 petang.
"Dalam operasi itu, seramai 284 pelanggan yang dikesan merokok menerima notis kesalahan mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.
"Sebanyak 14 notis membabitkan nilai kompaun RM7,000 dikeluarkan kepada pemilik premis mengikut Peraturan 12 (1) (a) PPKHT 2004 kerana tidak mempamerkan tanda larangan merokok.
"Kita turut mengeluarkan 28 notis membabitkan nilai kompaun RM14,000 mengikut Peraturan 12(1)(b) PPKHT 2004," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri operasi bersepadu di sini pada Ahad.
Norhayati berkata, operasi itu dilakukan KKM bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Secara keseluruhan sebanyak 147 peket rokok dirampas KPDNHEP dengan nilai rampasan RM1,040 di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 mengenai kesalahan dagangan palsu.
"Jabatan Kastam Diraja Malaysia pula merampas sebanyak 20 karton rokok dan 156 peket rokok mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan dan memiliki rokok tidak sah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!