Bellingham terus bersama Dortmund
BINTANG muda Borussia Dortmund, Jude Bellingham menegaskan dia akan terus beraksi bersama gergasi Bundesliga itu biarpun dirinya dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool musim panas nanti.
Dalam satu temubual bersama media pada Ahad, pemain berusia 18 tahun itu turut mengakui tidak sabar untuk memulakan aksi musim baharu bersama skuad BVB itu.
“Saya mempunyai jalan dan perancangan masa depan saya sendiri dan saya tahu saya boleh terus maju jika terus berusaha dan saling mempercayai dengan orang yang berada di sekitar saya.
“Lagipun, saya datang dari England pada usia muda..tidak banyak tekanan yang saya terima di sini di mana saya telah mengharungi musim pertama dengan Dortmund dan kini saya bersedia untuk mengharungi musim baharu pula bersama mereka.
“Secara keseluruhannya, saya merasakan kemajuan diri saya bersama Dortmund adalah disebabkan saya diberikan peranan lebih besar dan ini membuatkan saya lebih fokus untuk menang dalam setiap perlawanan yang diharungi,” katanya.
Untuk rekod, Bellingham menjadi buruan dua gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool dan Manchester City bagi musim 2022/23.
Malah, Liverpool dikhabarkan hampir ‘mengikat’ pemain berusia 18 tahun itu untuk beraksi di Anfield, namun dinafikan Bellingham.
Sementara itu, Bellingham berterima kasih kepada pihak kejurulatihan Borussia Dortmund yang disifatkannya telah banyak membantu membentuknya untuk muncul selaku pemain terbaik hari ini.
Katanya, mereka benar-benar tahu bagaimana untuk melakukan ‘pembentukan’ berkenaan dan seterusnya menggilap bakatnya hingga ke tahap maksimum.
“Kredit perlu diberikan kepada staf kejurulatihan Dortmund atas kejayaan saya hari ini dan oleh itu saya perlu terus berada di sini dan fokus untuk melakar lebih banyak kejayaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!