Warga asing mabuk bergelut dengan anggota imigresen
KUALA LANGAT - Akibat mabuk, dua lelaki warga China bergelut dengan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Selangor ketika serbuan di rumah kongsi di kawasan pembinaan di sini pada Sabtu.
Dua warga China yang berada dalam bilik yang kotor dengan botol serta tin minuman keras bersepah itu enggan menurut arahan yang diberikan anggota imigresen.
Situasi bertukar sedikit kecoh apabila mereka meninggikan suara dan bergelut dengan anggota imigresen hingga beberapa minit sebelum keadaan berjaya dileraikan.
Serbuan Ops Sapu bermula jam 1.40 pagi itu turut berdepan kesukaran apabila rata-rata tangkapan migran asing itu tidak tahu bertutur dalam bahasa Inggeris.
Operasi yang dijalankan hampir tiga jam itu telah berdepan provokasi warga asing apabila ada antara mereka gagal memberikan kerjasama.
Imigresen Selangor dalam kenyataan kepada Sinar Harian berkata, operasi itu telah memeriksa seramai 430 individu.
"Hasil pemeriksaan, 69 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk empat wanita telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
"PATI yang ditahan terdiri daripada 12 warga China, Vietnam (37), Bangladesh (10), Indonesia (9) dan seorang Pakistan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama," kata kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!