Raja Permaisuri Agong berkenan hadir persidangan PPPM

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
A
A
A

MELAKA - Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Sabtu berkenan menghadiri Persidangan Pandu Puteri dan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-57 Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini.

Ketibaan Seri Paduka, yang juga Penaung Diraja PPPM pada jam 11.08 pagi itu diiringi Yang Dipertua PPPM yang juga isteri Perdana Menteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin dan Timbalan Yang Dipertua PPPM yang juga Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Hadir sama, Penaung PPPM Melaka Toh Puan Asmah Ab Rahman; isteri Ketua Menteri Melaka, Datin Seri Munira M Yusop dan Ketua Pesuruhjaya PPPM, Datuk Jeyadhevi Subramaniam.

Seri Paduka bertitah, tema persidangan PPPM kali ini iaitu 'Dunia Kita, Masa Depan Kita Bersama, Our World, Our Equal Future' bertepatan dengan fungsi dan peranan sebagai makhluk Allah SWT.

"Dunia perlu dijaga, itu adalah tanggungjawab kita semua bersama. Dalam kata lain peranan manusialah yang sebenarnya mencorak dan dan menjaga bumi ini. Sikap memelihara dan memulihara bumi ini tidak boleh dipandang enteng.

"Maka saya mengajak diri saya dan hadirin sekalian agar kita bersama-sama memainkan peranan menjadi warga dunia yang bertanggungjawab. Jika bukan kita yang menjaga dunia ini, siapa yang hendak mempedulikannya," titah baginda.

Tunku Hajah Azizah bertitah, zuriat dan generasi masa depan akan terancam jika dunia dipenuhi dengan kemusnahan, justeru sikap kepedulian terhadap alam sekitar perlu bermula daripada sekarang.

"Demi melestarikan dan mengekalkan kehidupan sejahtera bak kata pepatah Melayu, di mana ada kemahuan, di situ ada terbentangnya jalan," titah baginda.

Pada majlis berkenaan 142 orang menerima 14 anugerah daripada persatuan itu, iaitu Lencana Seumur Hidup (36 orang), Pingat Jasa (15 orang), Pingat Agok Bakti Lebah (tiga orang), Pingat Jasa Lama 20 Tahun (dua orang), Lencana Jurulatih (seorang), Mutiara IV (empat orang), Pingat Layang-layang (empat orang).

Selain itu, Bintang Kehormatan (seorang), Asia Pacific Leadership Award for Service to Girl Guiding/ Girl Scouting (empat orang), Asia Pacific Leadership Award for District/ State Leaders (Commisioners) (lapan orang), Asia Pacific Leadership Award for Troop/ Unit Leaders (dua orang), Anugerah Pandu Puteri Raja (59 orang) dan Anugerah Srikandi (tiga orang).

Selain itu, Anugerah Apresiasi turut diberikan kepada Temasek Foundation International, Singapura selepas PPPM menerima 5,000 khemah kiub untuk diagihkan ke semua cawangan PPPM bagi sebarang perkhidmatan semasa bencana. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!