GRO mengaku penghantar air elak dicekup
KUALA LUMPUR - Helah gadis pelayan pelanggan (GRO) yang mengaku dirinya sebagai penghantar air bagi mengelak dicekup dalam serbuan polis di pusat karaoke di Jalan Ampang, di sini pada Ahad tidak menjadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, serbuan pada jam 12.45 tengah malam itu dijalankan sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur hasil maklumat dan risikan.
Menurutnya, tiga individu melibatkan seorang lelaki tempatan merupakan penjaga premis serta dua wanita Thailand disyaki GRO telah ditahan.
"Ketika ditahan, wanita Thailand itu mendakwa dirinya hanya menghantar air.
"Namun, soal siasat lanjut mendapati mereka adalah pelayan di pusat karaoke itu," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata, tiga yang ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Tambahnya, seramai 72 individu terdiri daripada 32 pekerja dan 40 pelanggan turut diperiksa bagi proses dokumentasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!