KPLB giat promosi rancakkan semula industri inap desa
BALIK PULAU - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang dalam usaha mempromosikan rumah inap desa di seluruh negara selepas industri tersebut terjejas akibat penularan wabak Covid-19.
Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah berkata, pelbagai usaha dilakukan antaranya pemberian peruntukan serta mengadakan akitiviti bagi mempromosikan industri rumah inap desa di media sosial dan ekspo keusahawanan.
Menurutnya, promosi tersebut melibatkan semua rumah inap desa di seluruh negara termasuk 173 di Pulau Pinang.
"Industri rumah inap desa terjejas teruk ketika negara dilanda wabak Covid-19. Ramai pengusaha rumah inap desa tiada pendapatan malah ada yang menutup terus perniagaan mereka.
"Oleh demikian, kementerian bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terlibat akan berusaha untuk menghidupkan semula industri rumah inap desa di seluruh negara termasuk Pulau Pinang," katanya selepas merasmikan Program Visit My Kampung Homestay Pulau Betong @PERDA di sini pada Ahad.
Tambahnya, selain usaha oleh kementerian dan GLC berkaitan, pengusaha inap desa juga perlu memainkan peranan dengan memastikan infrastruktur dan kemudahan di inap desa masing-masing berada dalam keadaan baik untuk persediaan menyambut kedatangan pelancong.
"Kita yakin pelancong akan kembali menginap dan memeriahkankan kembali aktiviti pelancongan berkonsepkan inap desa ini selepas kita berada pada pasca pandemik Covid-19," katanya.
Beliau berkata, KPLB menerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) memperuntukkan geran sebanyak RM4.45 juta untuk Program Pelancongan Inap Desa di Pulau Pinang.
"Menerusi peruntukan tersebut, sebanyak 173 buah inap desa dan peserta melibatkan 10 kampung mendapat manfaat menerusi program promosi, latihan dan bimbingan selain program pengurusan yang mampu menjana pendapatan tambahan untuk masyarakat luar bandar.
"Peruntukan sebanyak RM4.45 juta ini diterima sejak tahun 2014 lagi daripada pelbagai agensi seperti Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, KPLB dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) membuktikan keperihatinan kerajaan dalam menjaga pengusaha inap desa pelancongan di negeri ini.
“Program Inap Desa Pulau Pinang ini mendapat kerjasama yang baik daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi pensijilan dan pengiktirafan yang dikeluarkan di bawah MOTAC untuk membolehkan inap desa ini diiktiraf dan dipromosikan melalui pelbagai medium seperti Expo MATTA Fair dan Karnival Keusahawan di bawah KPLB," katanya.
Beliau menambah, program yang dilaksanakan oleh Perda itu mampu mempromosikan semula inap desa selain untuk memastikan pengusaha inap desa sudah bersedia untuk kembali beroperasi fasa endemik ini.
"Promosi untuk pelancongan inap desa di Pulau Pinang tiada noktahnya. Kita akan teruskan promosi ini menggunakan pelbagai medium bagi menggalakkan lebih ramai pelancong dalam dan luar negara menggunakan inap desa sebagai destinasi percutian.
"KPLB dan Perda berharap dengan sokongan daripada kerajaan mampu untuk merancakkan kembali sektor pelancongan inap desa selain untuk mempromosikan aktiviti di inap desa masing-masing menerusi keunikan dan ciri-ciri tersendiri seperti eko-pelancongan, dusun buah-buahan, taman negara dan bercirikan makanan tradisional dan laut”, katanya.
Berdasarkan data, jumlah keseluruhan pendapatan peserta inap desa seluruh Pulau Pinang adalah RM3.24 juta dengan 38,000 pelancong domestik dan antarabangsa menggunakan inap desa sejak program itu diperkenalkan pada tahun 2014.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!