KSTP bakal wujud 23,000 peluang pekerjaan

Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri (JPN) di Wisma Darul Aman pada Ahad.
Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri (JPN) di Wisma Darul Aman pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) membangunkan fasa dua Kedah Science and Technology Park (KSTP) meliputi kawasan seluas 340 hektar di Bukit Kayu Hitam.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pembinaan fasa dua itu akan bermula pada suku keempat tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2024.

Menurutnya, kerjasama yang melibatkan keseluruhan keluasan 750 hektar itu dijangka mewujudkan lebih 23,000 peluang pekerjaan dengan jangkaan pelaburan swasta sehingga RM12.9 bilion.

“Perjanjian kerjasama ini akan menyaksikan NCIA membangunkan infrastruktur dan terus memberi sokongan ke atas projek fasa dua.

"Saya gembira kerjasama membangunkan KSTP kini telah bermula. Ini komitmen kerajaan negeri dan NCIA untuk menjadikan Kedah sebagai hab bagi Penyelidikan dan Pembangunan dan Pengkomersilan (R&D&C) serta pembuatan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri (JPN) pada Ahad.

Muhammad Sanusi berkata, pembangunan keseluruhan KSTP melibatkan tiga fasa, yang mana fasa satu telah dibangunkan oleh PKNK dan kini sedia menerima pelabur berpotensi.

“Fasa dua akan dibangunkan oleh NCIA dan dibahagikan kepada dua sub fasa, iaitu fasa 2A dan fasa 2B. Susun atur pelan induk fasa 2A telah dimuktamadkan dan sedang di peringkat kelulusan permohonan Kebenaran Merancang (KM).

“NCIA dan PKNK telah muktamadkan perjanjian kerjasama KSTP, yang akan merealisasikan usaha kerjasama antara agensi kerajaan negeri. PKNK sebagai pemilik tanah dan agensi kerajaan persekutuan, NCIA sebagai pemaju tanah,” katanya lagi.

Menurutnya, KSTP dijangka melonjakkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) sebagai destinasi pelaburan pilihan sekali gus menarik pelaburan bernilai tinggi ke Kedah.

“NCIA telah lama menjalin kerjasama dengan agensi kerajaan negeri seperti Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Kedah dan PKNK bagi mempromosikan KSTP untuk menarik pelabur domestik dan asing, berskala besar dan sederhana.

“Dengan adanya KSTP, ia akan mengukuhkan lagi daya tarikan Kedah kepada pelabur, seterusnya kekal berdaya saing dalam menarik kemasukan pelaburan asing dan domestik,” katanya.

Muhammad Sanusi memberitahu, KSTP bakal menjadi penghubung bagi industri berkaitan teknologi tinggi dalam beberapa kluster utama, iaitu Agromakanan, Bahan Termaju, Produk Kimia, Bioteknologi dan Pembangunan Teknologi Nano.

Menurutnya, setakat Mei ini, Kedah telah merealisasikan pelaburan bernilai RM2.88 bilion dan mewujudkan 1,713 peluang pekerjaan baharu.

“Kejayaan ini disumbangkan oleh pertumbuhan dalam sektor pembuatan peranti perubatan diikuti oleh pertanian dan industri bio, logistik dan pelancongan.

“Insentif pelaburan NCIA seperti NTax, NCER Talent Enhancement Programme (NTEP) dan Dana Usahawan (DU@NCER) juga memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan,” katanya.

Sementara itu Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan berkata, lokasinya yang strategik di sempadan Malaysia-Thailand bakal memanfaatkan permintaan sekitar daripada kawasan pertumbuhan tinggi dan sebagai pelengkap kawasan perindustrian yang matang dan sedia ada seperti Kulim High Tech Park (KHTP).

“KSTP akan mempercepatkan pertumbuhan sosioekonomi selain mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi di Kedah,” ujarnya.

Menurutnya, NCIA akan terus melaksanakan program modal insan yang inklusif, holistik dan berteraskan rakyat seperti memperkasakan program empowerNCER-Latihan Kemahiran dan Keusahawanan serta JomNiaga@NCER untuk meningkatkan pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!