Pembangkang jangan terlampau menghasut rakyat: Onn Hafiz

Onn Hafiz ketika sesi penggulungan sidang pertama DUN Johor ke-15 di Kota pada Ahad.
Onn Hafiz ketika sesi penggulungan sidang pertama DUN Johor ke-15 di Kota pada Ahad.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pembangkang diingatkan tidak menjadi talam dua muka dalam menyatakan sesuatu isu sehingga sanggup menggunakan tindakan tidak beretika menghasut rakyat turun ke jalanan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, cadangan Ketua Pembangkang Johor, Liew Chin Tong supaya Barisan Nasional (BN) dan blok pembangkang negeri mengamalkan pendekatan bipartisan dipersetujui, namun ia memerlukan keikhlasan kedua-dua pihak.

"Jangan dalam dewan cakap lain tetapi dalam Facebook kita cakap lain. Jangan kita jadi talam dua muka.

"Sebagai contoh, baru-baru ini seorang daripada pemimpin tertinggi DAP Johor telah menghasut rakyat pergi ke jalanan untuk menyelesaikan isu kenaikan harga barang. Kononnya, pemimpin-pemimpin sedang dibuai lena," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan sidang pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Kota di sini pada Ahad.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN, DUN Johor, Datuk Jefridin Atan berkata, pembangkang perlu lebih jujur ketika berpolitik kerana rakyat tidak suka parti terlampau 'politiking'.

Katanya, untuk mengheret rakyat ke jalanan bagi menyelesaikan isu bebanan seperti kenaikan harga merupakan perkara yang tidak dapat diterima.

"Kita tidak suka kepada parti politik yang terlampau 'politiking' yang hendak mengheret rakyat ke jalanan untuk selesaikan masalah.

"Berhentilah berpolitik dengan cara ini, pembangkang perlu jujur kerana mereka di dalam DUN bercerita lain, tetapi di dalam Facebook dan Twitter tidak mengaku dengan apa yang mereka katakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!