Kutipan hasil di Pahang cecah RM750 juta: MB
JERANTUT - Kutipan hasil negeri Pahang mencecah RM750 juta setakat 22 Jun lepas, menghampiri sasaran kutipan RM1 billion pada tahun ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, ia dapat dicapai apabila kerajaan negeri berjaya menguruskan ketirisan dan kebocoran, selain mencari peluang yang ada tanpa membebankan rakyat, antaranya menerusi kutipan cukai daripada agensi yang menggunakan tanah milik kerajaan negeri.
"Hasil berkenaan kelak akan dikembalikan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk sumbangan dan bantuan, selain melaksanakan projek pembangunan negeri," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Pahang Tahun 2022 Sempena Sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi di Malaysia di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Pahang, Radiatul Fitri Dollah.
Pada tahun 2019, Pahang memperoleh hasil sebanyak RM847 juta, meningkat kepada RM850 juta pada 2020 dan RM866 juta tahun lepas.
Terdahulu dalam ucapannya Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM1 juta tahun ini untuk disalurkan kepada Gerakan Koperasi Pahang.
Sementara itu, Radiatul Fitri berkata, pihaknya bercadang untuk menubuhkan gabungan koperasi peringkat daerah bagi membantu kerajaan meningkatkan pengeluaran makanan negara untuk mengelakkan krisis makanan.
"Kami telah berbincang dengan koperasi di daerah-daerah dan salah satu daripada perancangannya ialah menggabungkan penternak ayam sedia ada di Pahang untuk membentuk koperasi," katanya.
Setakat 31 Disember lepas, 1,180 koperasi berdaftar di Pahang dengan kekuatan anggota hampir 300,000 orang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!