Graduan OKU hadiahkan anugerah khas akademik kepada arwah bapa
KOTA BHARU - Hasrat seorang orang kurang upaya (OKU) cacat kedua-dua tangan dan tulang belakang membengkok untuk menghadiri majlis konvokesyen bersama bapa tidak kesampaian apabila bapanya meninggal dunia pada Disember tahun lalu.
Kehibaan dialami graduan Diploma Psikologi Kolej Uniti Kota Bharu, Azmi Ibrahim, 26, itu bagaimanapun sedikit terubat apabila dia dinobatkan sebagai penerima anugerah khas atas kecemerlangan akademik dan kegigihan yang tinggi sepanjang tempoh pengajian dengan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.85.
Menurutnya, kejayaan itu adalah ‘hadiah’ yang ingin disampaikan kepada Allahyarham bapanya, Ibrahim Ismail, 61, yang meninggal dunia akibat sakit jantung.
“Saya simpan dua pas masuk ke majlis konvokesyen ini untuk ibu dan bapa, tetapi ALLAH lebih sayangkan bapa yang ‘pergi’ dahulu sebelum sempat majlis ini berlangsung.
“Ibu saya pula tinggal di Jertih, Terengganu dan tidak dapat datang kerana menjaga datuk yang sakit, tetapi tidak mengapa. Saya hadiahkan Anugerah Khas ini kepada mereka terutama arwah bapa,” katanya sebak ketika ditemui di Majlis Konvokesyen Kolej Uniti Kota Bharu di Hotel The Grand Renai di sini pada Ahad.
Hadir menyampaikan anugerah tersebut, Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Azmi yang merupakan anak kelima daripada sembilan beradik itu berkata, dia sangat akrab dengan arwah bapanya.
“Saya menyedari diri tidak sempurna seperti orang normal lain dan banyak cabaran yang perlu ditempuhi dalam banyak perkara, tetapi saya perlu bersyukur kerana masih ada lagi orang lebih sukar serta kekurangan berbanding saya.
“Arwah bapa adalah insan yang sentiasa menjadi sumber inspirasi kepada saya selama ini dan sentiasa memujuk setiap kali saya patah semangat atau gagal dalam pembelajaran mahupun kehidupan,” katanya yang berasal dari Jertih, Terengganu.
Katanya, berkat doa daripada ibunya yang bekerja sebagai tukang sapu dan arwah bapa sebagai pemandu lori, dia berjaya mendapat Anugerah Dekan pada semester pertama dan PNGK antara 3.7 dan 3.9 sepanjang enam semester serta kini bekerja sambilan sebagai Pegawai Pengambilan Pelajar di Kolej Uniti Kota Bharu.
Pada majlis itu, seramai 284 graduan menerima diploma bidang Pengurusan, Pengajian Islam, Psikologi, Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pengurusan Industri Halal.
Tiga lagi graduan menerima anugerah khas iaitu Wan Muhammad Akmal Wan Azman PNGK 3.61 (Anugerah Tok Kenali); Nurul Alya Syuhada Azlan PNGK 3.7 (Anugerah Che Siti Wan Kembang) dan Siti Masyitah Razmi PNGK 3.97 (Anugerah Presiden).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!