Bimbang politik tidak stabil, pemimpin korup: Ghani Othman
JOHOR BAHRU - Bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman bimbang dengan perkembangan politik semasa yang tidak stabil termasuk kemungkinan situasi itu berterusan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Veteran UMNO itu berkata, terdapat tiga faktor yang menjadi asas kebimbangannya iaitu ketidakstabilan politik yang berpanjangan, korupsi melibatkan pemimpin dan keupayaan kepimpinan mengurus tadbir negara.
''Ada tiga kebimbangan saya, yang pertama adakah akan berterusan keadaan politik yang tidak stabil? Besar kemungkinan politik negara kita akan terus tidak stabil walaupun selepas PRU15.
"Yang kedua korupsi dalam kalangan pemimpin dan ketiga keupayaan kepimpinan memimpin serta mengurus tadbir negara kita," katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Negeri Johor di Bangunan UMNO Johor di sini pada Ahad. Hadir sama Yang Dipertua Mubarak Johor, Datuk Abdullah Ali.
Abdul Ghani turut berharap kestabilan politik dapat dicapaikan oleh parti-parti politik yang bertanding pada PRU15.
"Menjadi harapan kita juga supaya pemimpin yang dipilih tidak korup dan ada keupayaan daripada segi intelektual untuk memimpin dan mengurus tadbir negeri dan negara," katanya yang menjadi memimpin Johor dari 1995 hingga 2013.
Beliau turut berharap pemimpin muda yang diberi tanggungjawab mengemudi negeri dan negara dapat menjalankan tugas dengan baik serta mengemukakan idea-idea baharu yang lebih segar.
"Alhamdulillah, contohnya sudah wujud di Johor ini (Menteri Besar yang muda). Semoga mereka dapat membawa negeri dan negara kita dengan lebih baik," katanya.
Dalam majlis tersebut, Abdul Ghani turut mengimbas kembali kenangan beliau memimpin negeri Johor, termasuk cabaran dalam memilih calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam PRU sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!